Buaya tembaga 300kg terperangkap dalam sangkar
Kehadiran buaya tembaga sepanjang lima meter di muara Sungai Teruntum itu dipercayai haiwan yang sama membaham haiwan peliharaan mereka sebelum ini.
Kejadian disedari salah seorang pekerja ladang, Johari Resal, 63, yang turun meninjau sangkar milik Sarawak Forestry Corporation (SFC) di sungai itu pukul 7 pagi ini.
Katanya, dia mulai mencurigai sesuatu selepas mendengar bunyi salakan anjing yang agak kuat pada malam sebelum itu.
Ketika turun ke pokok bakau ini, saya mulai perasan terdapat seekor buaya terperangkap di dalam sangkar tersebut.
Saya segera menghubungi pihak SFC selepas mendapati kepala buaya tersebut terkeluar dari sangkar," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, Pemangku Pengurus Besar SFC, Oswald Braken Tisen berkata, ketika anggotanya tiba di tempat kejadian, mereka mendapati buaya tersebut cuba melepaskan diri dengan menggigit sangkar.
Bagaimanapun, katanya, buaya itu gagal melepaskan diri apabila pihaknya berjaya menarik sangkar tersebut ke darat bagi menghalang reptilia tersebut daripada mengganas.
SFC memang meletakkan sangkar khas sepanjang empat meter dengan umpan bangkai ayam di sungai ini selepas menerima aduan reptilia tersebut sering naik ke darat dan memakan haiwan peliharaan.
November lalu pihak SFC berjaya menangkap seekor buaya, namun buaya yang ditangkap hari ini adalah yang terbesar pernah ditangkap di sungai ini dan akan dipindahkan ke Matang Wildlife pagi esok," katanya.
Tambahnya, sungai tersebut merupakan habitat utama reptilia itu kerana dihubungkan dengan sungai di Santubong, Bako dan Taman Negara Kuching.
Katanya, pihaknya akan meletakkan semula sangkar tersebut di sungai itu kerana tinjauan sebelum ini mendapati masih terdapat sekurang-kurangnya tiga ekor buaya bersaiz besar di sungai berkenaan.
Tangkapan tersebut turut dimaklumkan kepada Tun Abang Muhammad Salahuddin dan isteri, Toh Puan Norkiah Abdullah yang kemudian turun ke tempat kejadian, pukul 4.20 petang.
- UTUSAN