Hanya 25% rakyat beli produk baru lancar - Kajian
Daripada jumlah itu, lima peratus daripadanya bersetuju sepenuhnya bahawa mereka menyokong kuat inovasi terbaharu.
Menurut kenyataan Nielson, peratusan itu adalah lebih rendah berbanding peratusan di rantau Asia Pasifik dan purata di peringkat antarabangsa iaitu masing-masing 38 dan 34 peratus.
Kajian Nielsen Global Survey of New Product Purchase Sentiment melibatkan 29,000 responden internet daripada 51 negara telah menunjukkan bahawa 'konsep yang terbukti' (proof of concept) memberi pengaruh besar dalam membeli inovasi baharu.
Hampir 65 peratus responden di negara ini menyatakan bahawa mereka akan menunggu sehingga inovasi baharu itu terbukti bagus sebelum membelinya.
Bagi keutamaan jenama pula, 65 peratus pengguna negara ini memilih untuk membeli produk baharu yang dikeluarkan oleh jenama yang sudah dikenali iaitu lebih tinggi berbanding jumlah purata bagi Asia Pasifik dengan 55 peratus.
Pengarah Urusan Nielsen Malaysia, Richard Hall berkata, walaupun pengguna gemar melihat produk baharu, tetapi untuk menjadi pembeli pertama, pengguna akan memikirkan mengenai apa yang akan terjadi kepada produk berkenaan selepas dibeli.
Katanya, perkara tersebut termasuk penjagaan selepas membelinya bagi jangka masa pendek dan pertengahan.
"Walaupun kepercayaan terhadap jenama yang sudah terkenal dan dipercayai membantu menarik perhatian bila produk baharu dilancarkan, namun budaya 'tunggu dan lihat' rakyat Malaysia sudah menjadi norma dalam membuat pembelian.
"Apa yang penting, harga untuk persamaan nilai kekal menjadi faktor utama dalam kejayaan sesuatu produk, begitu juga pengalaman peribadi yang positif dan juga pengesahan secara lisan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Berbanding 64 peratus di Asia Pasifik, 49 peratus pengguna Malaysia didapati akan memberitahu orang lain mengenai produk yang mereka beli.
Menurut kajian itu juga, pengiklanan secara tradisional dan komunikasi secara lisan adalah cara pemujukkan yang paling berkesan untuk memperkenalkan produk baharu di Malaysia.
Katanya, 69 peratus pengguna akan yang mendapat sampel percuma adalah lebih tertarik untuk membeli produk baharu itu.
Teknik yang sama juga diikuti dengan mendengar nasihat dari keluarga dan rakan dengan 69 peratus dan nasihat pakar (67 peratus).
Selain itu, kesedaran meyakinkan mengenai produk juga diperolehi dengan melihat produk di kedai dengan 67 peratus, iklan televisyen (56 peratus) dan internet (56 peratus).
- UTUSAN