Bagaimana Pola Pemikiran Pengundi
Pada masa lalu, dalam konteks Malaysia, pemilihan dan faktor kemenangan calon tidak begitu sukar diramal. Calon bagi parti-parti tertentu sudah dijangka memenangi pilihan raya dengan mudah. Waktu itu, pengundi memilih calon berdasarkan reputasi parti dan calon bukanlah isu utama kemenangan.
Bagaimanapun, beberapa keputusan pilihan raya mutakhir ini menunjukkan trend yang sukar dijangka. Ada calon yang kalah besar walaupun mewakili parti yang popular, manakala ada pula calon yang tidak dikenali menang majoriti walaupun parti yang diwakili tidak sepopular mana.
Walaupun pengundi mungkin mengenali calon yang bertanding di kawasan mereka, tetapi pada hakikatnya mereka mengenali sedikit sahaja mengenai diri calon berdasarkan persepsi yang mereka miliki.
Maklumat ini biasanya disimpan dalam bentuk 'skema' atau dalam bahasa yang mudah, maklumat yang disimpan di dalam mental individu.
Walaupun banyak perkara yang disimpan, bagaimanapun, antara yang selalu diingati ialah trait iaitu ciri atau karakter seseorang calon.
Secara asasnya, kajian-kajian menunjukkan bahawa sifat calon dijadikan asas apabila pengundi memilih seseorang calon bagi mewakili mereka.
Lebih empat dekad yang lalu, pengkaji psikologi seperti Rosenberg, Nelson dan Vivekananthan telah menunjukkan bahawa calon yang mempunyai ciri keperibadian terpuji, intelektual dan keupayaan humor lebih disukai oleh pengundi.
Sungguhpun begitu, antara aspek yang lebih utama dan sering disebut ialah calon yang 'boleh dipercayai' dan 'konsisten dengan pandangan' selalunya dianggap sebagai kriteria utama.
Sekiranya calon terbabit mempunyai ciri yang baharu, ia akan disimpan di dalam skema pengundi, tanpa memadamkan maklumat sebelumnya.
Misalnya, seseorang calon ketika usia mudanya ialah seorang pendokong hak asasi dan telah berubah menjadi seorang pejuang bahasa ketika berumur, beliau akan tetap dikategorikan sebagai seorang pendokong hak asasi.
Beri kepercayaan
Ciri calon juga dianggap kriteria yang lebih utama, bahkan jika dibandingkan dengan parti yang diwakili oleh calon sekalipun.
Sebab itu, kita dapati ada calon yang masih berjaya memenangi kerusi pilihan raya sekalipun mereka bertukar parti. Rakyat masih memberikan kepercayaan kepada mereka.
Kita juga mendapati dalam banyak persaingan politik, hal yang sering diperkatakan lebih banyak merujuk kepada sifat buruk seseorang calon dan bukannya isu yang melibatkan kebajikan rakyat. Semua ini adalah berkait rapat dengan tret atau sifat calon.
Di Amerika Syarikat, setiap kali pilihan raya, parti politik akan mengupah perunding bagi menanam kepercayaan negatif mengenai calon lawan kerana dikatakan maklumat negatif adalah lebih memberikan kesan kepada pola pengundian, berbanding maklumat positif mengenai parti itu sendiri.
Sekiranya trait atau ciri menjadi ramuan utama pemilihan calon, kita mungkin perlu bertanya sejauh mana pula isu atau persoalan polisi yang cuba ditonjolkan dalam pilihan raya?
Ia merupakan persoalan yang cuba dihuraikan oleh ahli psikologi bagi memahami gelagat pengundian manusia.
Kajian-kajian yang dijalankan pada akhirnya menunjukkan walaupun isu yang dihujahkan juga boleh memukau hati rakyat, ia bukanlah semudah yang dijangka. Ia perlu konsisten dengan ciri peribadi yang dimiliki oleh seseorang calon.
Misalnya, sekiranya calon A ialah seorang bukan Islam, tetapi cuba mempromosikan undang-undang syariah, ia mungkin tidak memberikan kesan kepada pengundi.
Calon
Calon B yang mendapat pendidikan di Barat dalam medium berbahasa Inggeris mungkin kurang diyakini sekiranya cuba mempromosikan pendidikan dalam bahasa kebangsaan.
Sebab itulah, 'boleh dipercayai' dan 'konsisten dengan pandangan' ini dianggap sebagai kriteria utama seseorang calon mempengaruhi pemilihan pengundi.
Mereka yang mempunyai ketekalan dalam satu-satu pandangan bagi jangka masa panjang, akan lebih mudah dipercayai.
Pengundi merasakan bahawa mereka mampu untuk mempertahankan pendirian mereka, sekalipun ada pandangan yang mungkin salah.
Sebab itulah, dalam kebanyakan topik perdebatan politik, biasanya pesaing politik akan cuba diremehkan dengan mencari ketidakselarasan antara apa yang mereka hujahkan dengan trait yang mereka miliki.
Sekiranya perkara itu menjadi perkara utama yang dilihat oleh pengundi, timbul pula persoalan tentang sejauh mana pentingnya parti yang diwakili oleh seseorang calon.
Dalam konteks ini, ahli psikologi merumuskan bahawa parti menjadi landasan persamaan sikap antara calon dan pengundi.
Sekiranya calon mewakili parti yang disukai oleh seseorang pengundi, mereka akan dianggap sebagai mempunyai pendirian yang sama dengan pengundi. Mereka akan lebih untuk mendapat simpati.
Bagaimanapun, semua ini masih tetap lagi bergantung kepada sejauh mana calon tersebut mempunyai ciri yang diutamakan oleh pengundi.
Calon yang tidak tetap pendirian dan tidak dipercayai mungkin bukan lagi calon yang boleh dianggap sebagai calon mampu menang dalam politik kontemporari hari ini. Politik adalah seni serba mungkin yang sangat sukar untuk diduga.
- KOSMO!