Baha Zain Sasterawan Negara ke-12
Tokoh bahasa dan budaya Melayu, Datuk Baharuddin Zainal (Baha Zain) diumumkan sebagai penerima Anugerah Sasterawan Negara ke-12 yang membawa gelaran Sasterawan Negara.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pemilihan itu berdasarkan kecemerlangan serta sumbangan berterusan Baharuddin dalam seni kesusasteraan tanah air melalui ciptaan karya kreatif, pemikiran dan kegiatan sastera bermutu tinggi.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, majlis pengurniaan anugerah itu akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong tidak lama lagi.
''Pemilihan calon-calon untuk Sasterawan Negara berdasarkan sumbangan mereka melalui karya dan pemikiran terhadap pengembangan sastera, impak dalam penyebaran ilmu, kepimpinan dalam persatuan sastera dan impak pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
''Panel telah mengadakan beberapa perbincangan untuk meneliti sumbangan dan kekuatan calon, dan akhirnya panel memilih Baha Zain sebagai penerima anugerah kali ke-12," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat panel Anugerah Sastera Negara ke-12 di sini hari ini.
Muhyiddin berkata, dengan penganugerahan itu, Baharuddin akan dikurniakan watikah penghormatan negara, wang tunai RM60,000, penerbitan 50,000 naskah buku atau nilai harga buku berjumlah RM500,000 untuk dibeli oleh kerajaan dan diedarkan ke sekolah, perpustakaan, jabatan dan agensi kerajaan.
''Beliau juga akan menikmati kemudahan perubatan percuma wad kelas satu di mana-mana hospital kerajaan, kemudahan dan keselesaan untuk mencipta karya sastera, kemudahan menerbitkan karya dan penterjemahan karya yang sesuai ke bahasa asing," katanya.
Baharuddin dilahirkan di Batu 15, Hutan Melintang, Perak pada 22 Mei 1939 dan mendapat pendidikan awal di Sabak Bernam, Selangor hingga tahun 1949.
Selepas menamatkan pengajian di Universiti Malaya pada 1963, beliau bertugas di Bahagian Penyelidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai Penolong Pegawai Penyelidik.
Pada tahun 1966, beliau menyambung pengajian di Fakulti Sastera, Universitas Indonesia, Jakarta.
Baharuddin juga pernah menerima Anugerah Penyair Gapena (1988), Anugerah Tokoh Pejuang Bahasa daripada Persatuan Linguistik Malaysia (2004), Anugerah Budayawan Gapena (2008), dan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan daripada USM (2010), dan Anugerah Tokoh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (2011).
- BERNAMA