Populariti crepe durian


LEMPENG bukan makanan yang asing di negara ini. Selain lempeng, panggilan lain yang sungguh popular adalah crepe.

Crepe sebenarnya berasal dari Switzerland dan crepe Suzette adalah lempeng yang paling popular dari negara yang memang terkenal dengan pelbagai jenis pemanis mulut dan coklat itu.

Crepe Suzette adalah lempeng kosong yang disajikan bersama buah buahan. Lempengnya akan dimasak dengan alkohol dan buah-buahan dengan teknik masakan yang dipanggil Flambe.

Pada minggu ini saya akan menulis tentang lempeng atau crepe. Topik ini menjadi pilihan kerana kesukaan ramai orang terhadap crepe durian iaitu sejenis pencuci mulut durian yang telah menjadi suatu kegilaan.

Crepe durian telah lama popular dan banyak dijual di merata tempat, tetapi minggu ini saya akan berkongsi sedikit maklumat tentang juadah lempeng ini dan bagaimana ingin membuat crepe yang terbaik.

Crepe durian sebenarnya makanan yang diperbuat daripada kulit lempeng yang di dalamnya diletakkan krim durian.

Ini tidak banyak berbeza dengan lempeng yang biasa kita nikmati dari segi cara pembuatannya kerana adunannya masih diperbuat daripada tepung dan telur, bagaimanapun kulitnya perlulah nipis.

Saya tahu durian merupakan buah yang bermusim dan agak sukar untuk membuat crepe durian ini jika di luar musim buah durian. Tetapi seperti yang saya beritahu crepe ini boleh kita pelbagaikan dan tidak cuma terhad kepada menggunakan durian sahaja sebagai isinya.

Kita boleh mengolah menggunakan apa-apa sahaja inti yang sesuai untuk dicampurkan dengan krim seperti buah pic, strawberi, blueberi atau pisang. Terserah kepada anda jika ada buah-buah lain yang anda suka tetapi pastikan ia sesuai.

Anda juga boleh mencampurkan dengan perasa tambahan seperti coklat, karamel atau sebarang jenis perasa tiruan.

Menggunakan selain buah durian sebagai intinya juga amat sesuai terutamanya pada mereka yang memang tidak suka rasa dan bau durian yang dianggap kuat dan kurang enak.

Bagi mereka yang gemarkan durian sudah semestinya bukan suatu masalah yang besar malah dianggap lebih sedap jika menggunakan durian.

Untuk membuat crepe tidak susah kerana peralatan yang diperlukan sangat minimum. Cuma yang agak sukar adalah teknik membuat dan memasak crepenya sahaja.

Adunan crepe perlu dimesin dan ditapis agar adunannya halus. Jika tidak betul tekniknya, permukaan lempeng anda tidak rata dan tidak nipis seperti yang sepatutnya.

Tahap kemasakan juga perlu diberi perhatian kerana jika terlebih masak sukar untuk melipat crepe dan yang paling ketara sekalitidak boleh terlebih masak kerana warna permukaannya menjadi tidak cantik selepas crepe dilipat.

Kuali yang diperlukan adalah jenis tidak melekat bersaiz 8-10 inci. Gunakan api yang sederhana supaya lempeng masak dengan cantik

Untuk intinya, krim yang paling sesuai adalah jenis topping cream atau krim yang digunakan sebagai aising kek.

Ini jenis krim bukan tenusu yang diperbuat daripada minyak sayuran dan senang dibeli di pasar raya. Rasanya lebih enak berbanding krim putar biasa.

Selepas dipukul terpulanglah pada anda untuk meletakkan apa sahaja perisa seperti durian dan sebagainya.

Jadi kepada penggemar-penggemar crepe bolehlah mencuba resipi crepe durian yang saya kongsikan ini.

Ingat, pelbagaikan perisa intinya jika anda sukar mencari durian ketika ini. Selamat mencuba!

- UTUSAN
 


Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url