Pengganas Sulu Amal Ilmu Hitam, Mayat Cepat Reput
Antara benda-benda berunsur syirik yang ditemui pada mayat pengganas ialah tangkal yang mereka percayai boleh menjadikan anggota militan kebal dan takwim bagi meramal hari yang sesuai untuk menyerang pasukan keselamatan.
Menurut sumber pasukan keselamatan, terdapat pengganas yang mati ditembak memakai tangkal dan mempunyai tatu ayat al-Quran di badan.
"Mereka mungkin kebal dengan peluru tetapi tidak setiap masa. Malah jika kulit mereka tidak lut namun letupan mortar mampu membunuh mereka," katanya.
Beliau berkata ada satu mayat pengganas yang mempunyai kesan hitam dipercayai kesan peluru namun kemungkinan kematian pengganas itu disebabkan luka dalaman akibat bunyi dan letupan mortar. "Peliknya pengamal ilmu batin ini, mayat pengganas cepat busuk dan dihurungi ulat dalam tempoh sejam. Jika manusia biasa ulat akan hurungi mayat itu jika dibiarkan lebih dari dua atau tiga hari," katanya.
Pegawai Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) Sabah Mejar Anuar Mat Zin berkata Islam melarang menggunakan ilmu kebatinan yang boleh menyekutukan Allah dalam menegakkan sesuatu perjuangan kerana ia lari daripada landasan agama.
Beliau berkata perbuatan itu boleh merosakkan akidah sekaligus menjadikan perjuangan mereka adalah perbuatan sia-sia. "Perbuatan memuja sesuatu ilmu seperti untuk kebal adalah salah di sisi Islam, Islam tidak menerima perjuangan seperti itu biar apapun niat dan matlamatnya," katanya yang turut terlibat dalam Operasi Daulat dalam membanteras kumpulan pengganas itu.
Beliau berkata soal ajal dan maut adalah di tangan Allah dan tiada siapa atau kuasa yang dapat mengubahnya. Pengganas yang didakwa menggunakan ilmu batin untuk kebal turut memakai tangkal dan kad meramal hari, iaitu ilmu Kutika yang dipelajari daripada buku Tajul Muluk dan perkara itu disahkan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
"Itu mungkin kepercayaan mereka," katanya selepas ditemui pemberita di markas operasi Felda Sahabat 16, dekat sini pada Rabu.
Anggota Parlimen Silam Salleh Kalbi pula menyifatkan amalan kebatinan pengganas tidak melambangkan mereka seorang pejuang jihad seperti yang cuba digembar-gemburkan pihak tertentu di negara ini.
"Menurut Islam adalah haram bagi mana-mana pihak yang ingin mengganggu-gugat negara yang berdaulat, iaitu pemimpinnya dipilih oleh rakyat dengan kerelaan hati mereka.
"Tetapi ia dibenarkan jika kedaulatan negara terancam seperti Palestin kerana ia demi mempertahankan kedaulatan negara itu yang telah dirampas," katanya yang menyifatkan pengorbanan pasukan keselamatan adalah satu jihad kerana mempertahankan negara berdaulat.
- BERNAMA