Wanita banyak sakit mental
Ceramah tersebut telah dianjurkan oleh Kumpulan Sokongan Wanita Hospital Gleneagles yang dikenali sebagai Women To Women Well-Being Tea Talk yang diadakan sempena Hari Wanita Antarabangsa.
Nor Hamidah berkata, wanita hari ini berhadapan dengan pelbagai cabaran dan tekanan.
Wanita mampu memikul semua tanggung jawab dengan baik dan pada masa yang sama boleh menyeimbangkan tuntutan sebagai isteri, ibu dan ahli kepada masyarakat.
Beliau turut mengambil contoh situasi balu yang suami masing-masing terkorban dalam Ops Daulat di Lahad Datu, Sabah, baru-baru ini.
Nor Hamidah menelaskan konsep keseimbangan iaitu perasaan sedih dan pada masa yang sama berbangga menjadi isteri kepada wira negara yang terkorban bukanlah satu yang mudah untuk dicapai.
Bukan senang menerima kehilangan orang tersayang, kesedihan yang tidak diurus dengan baik akan memberikan kesan negatif pada kesihatan mental wanita.
Namun dalam hal pengorbanan perajurit negara, kita bersyukur kerana pihak berkuasa seperti tentera dan polis juga mempunyai kumpulan sokongan malah pakar psikiatri dan kaunselor juga ada untuk membantu mereka menghadapi masa-masa sukar.
Cuma yang kita risaukan bagaimana nasib wanita yang berhadapan dengan kehilangan, lalu meratapi kehilangan tersebut tanpa mendapatkan nasihat sewajarnya. Itu pasti akan memberi kesan buruk pada kesihatan mental mereka," jelasnya.
Nor Hamidah menambah, keadaan wanita kini berbeza daripada sepuluh tahun dahulu dengan emegang peranan pelbagai tanggung jawab berat dan jawatan penting dalam negara bukan sahaja di Malaysia malah di luar negara juga.
Kini isu menuntut hak kesaksamaan gender bukan lagi fokus utama bagi wanita. Jika seabad lalu mungkin ramai yang tidak percaya wanita mampu memegang jawatan tinggi seperti ketua pegawai eksekutif, editor, doktor dan pelbagai lagi jawatan penting lain.
Namun kini wanita terutamanya di Malaysia diiktiraf dalam pelbagai pencapaian dan memegang jawatan penting di dalam sektor korporat dan awam.
Malangnya selari dengan pencapaian itu, wanita juga berhadapan dengan pelbagai isu kesihatan termasuklah masalah mental.
Hakikatnya walau bagaimana maju pun wanita di dunia ini, masih ada wanita yang nasibnya tidak begitu baik terutamanya di nagara mundur seperti di Myanmar.
Isu kesihatan mental wanita memang berbeza bagi setiap wanita. Lain negara, lain pula fokusnya. Sebagai contoh di negara seperti Korea, wanita sanggup menghabis beratus ribu ringgit semata-mata untuk kecantikan. Ini juga salah satu isu yang melibatkan kesihatan mental apabila mereka tidak lagi mempunyai keyakinan pada diri sendiri," jelasnya.
Ada harga yang perlu dibayar
Menurut Nor Hamidah, apabila banyak kuasa yang diberikan kepada wanita, ada beberapa perkara yang wanita perlu seimbangkan dan kegagalan mencapai stabiliti inilah akan mengundang beberapa tekanan.
Hanya dua daripada lima wanita yang mengalami masalah kebimbangan merujuk masalah mereka kepada pakar. Sebenarnya dari segi gender, peluang risiko lelaki dan wanita untuk mendapat penyakit mental adalah sama, tapi wanita lebih cenderung menunjukkannya.
Mengapa wanita tidak ramai yang merujuk kepada doktor mungkin kerana pelbagai sebab seperti tradisi keluarga, kesusahan mendapatkan perkhidmatan yang sesuai dan pelbagai masalah lagi," jelasnya.
Nor Hamidah menambah, penyakit mental yang biasa dialami wanita ialah kemurungan, kebimbangan dan complain somatic yang bermaksud kerap mengadu sakit pada bahagian tubuh seperti lenguh-lenguh, pening dan lesu. Bayangkan satu daripada tiga wanita Malaysia menghadapinya.
Selain penyakit mental yang disenaraikan di atas, wanita perlu tahu bahawa penyakit Unipolar Depression juga bakal menjadi masalah di seluruh dunia menjelang tahun 2020 dan sudah tentu kebimbangan ini melibatkan penambahan jumlah pesakitnya di kalangan wanita.
Kita juga bimbang penyakit kemurungan yang dialami mereka yang sedia berpenyakit sebagai contoh penyakit kanser menambah lagi kesukaran untuk penyembuhan sepenuhnya.
Kajian juga menunjukkan wanita hidup lebih lama dari lelaki dan atas sebab itulah maka wanita harus menjaga kesihatan mental agar tidak terlibat dengan penyakit tua seperti nyanyuk menjelang hari tua kelak," katanya.
Sumber : UTUSAN