Botak beri risiko kesihatan

Lelaki botak dikatakan berisiko tinggi untuk mendapat penyakit jantung koronari.

Tetapi, satu kajian terbaru menyatakan risiko itu dihadapi oleh mereka yang botak di bahagian tengah kepala.
Lelaki yang mengalami botak depan dikatakan tidak memiliki risiko tambahan bagi penyakit arteri tersumbat yang juga boleh menyebabkan serangan jantung, menurut laporan jurnal BMJ Open.


Penyelidikan

Ia berdasarkan penemuan penyelidik dari Bahagian Penyakit Metabolik dan Diabetes Universiti Tokyo.

Mereka menganalisis enam kajian mengenai perbezaan botak di kalangan lelaki dan penyakit koronari jantung yang dijalankan antara 1993 dan 2008 membabitkan hampir 40,000 responden di Amerika Syarikat dan Eropah.

Analisis berkenaan menunjukkan bahawa lelaki yang kehilangan banyak rambut berkemungkinan lebih satu pertiga untuk mendapat penyakit arteri koronari berbanding mereka yang berambut lebat.
Lebih teruk keadaan botak akan mempengaruhi peringkat risiko tetapi sekali lagi ia hanya membabitkan mereka yang botak di bahagian tengah kepala.

“Hasil kajian ini menunjukkan bahawa botak di bahagian tengah adalah lebih dikaitkan dengan systemic atherosclerosis (penyakit jantung koronari) berbanding mereka yang botak bahagian depan.

“Faktor risiko kardiovaskular berkenaan perlu dikaji dengan lebih teliti di kalangan lelaki yang botak tengah kepala terutama golongan lelaki muda dan mereka yang mungkin digalakkan untuk melihat risiko profil kardivaskular masing-masing,” menurut kajian berkenaan.

Pun begitu, kajian lebih lanjut diperlukan untuk mengesahkan keputusan ini.

- AGENSI


Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url