RTM perkenal saluran berita portal 1News
Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf berkata, portal itu menjadi sumber baharu dalam usaha menyebar luas maklumat dalam kalangan rakyat menggunakan medium internet.
Menurut beliau, pengenalan portal berita itu juga bagi membolehkan RTM kekal relevan dengan perkembangan semasa sekali gus terus diyakini orang ramai terutama dalam kalangan generasi muda.
"Ciri-ciri asas portal 1News ini adalah siaran berita yang berlandaskan kepentingan, interaktif, eksklusif, ringkas dan padat sekali gus dapat menarik perhatian orang ramai," katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan portal 1News itu di Universiti Taylor, Subang Jaya dekat sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Norhyati Ismail dan Naib Canselor Universiti Taylor, Prof. Datuk Dr. Hassan Said.
Menurut Kamaruddin, bagi fasa pertama, portal 1News itu akan bersiaran pada pukul 9 pagi hingga 10 malam dengan kandungannya diulang setiap empat jam sebelum beroperasi sepenuhnya pada Ogos ini.
Katanya, portal itu juga menyiarkan berita ringkas tidak melebihi lima minit dan menyiarkan siaran rakaman sidang akhbar tanpa suntingan.
"Pengenalan portal ini juga bakal merealisasikan pembentukan saluran berita RTM sepenuhnya yang menggunakan format definisi tinggi (HD) pada 2015," ujarnya.
Tambah beliau, orang ramai boleh melayari 1news.rtm.gov.my untuk mendapatkan berita melalui portal itu bermula 19 April 2013.
- UTUSAN
Nota : 1News ini telah ditukar kepada Berita RTM di portal Myklik