Minda sihat rangsang budaya kerja kelas pertama

Oleh Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail
Prof Madya di Jabatan Siasah Syariyyah, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

Tidak dinafikan untuk merangsang budaya kerja kelas pertama dan perkhidmatan bertaraf dunia dalam era persaingan hari ini, aset minda warga organisasi menjadi amat bernilai. Ia juga harga yang perlu dibayar untuk merealisasikan modal insan berfikiran terbuka, positif, strategik, inovatif dan kreatif.

Kekuatan modal insan ini terhasil daripada aset minda yang sihat dengan pengetahuan, maklumat, ingatan, persepsi serta daya berfikir yang benar dan betul. Ia juga adalah minda yang kuat dengan nilai ketelitian, keprihatinan dan kesanggupan menghadapi kesukaran.

    Firman Allah SWT: “Allah memberikan hikmah kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan yang ditentukan-Nya). Dan sesiapa yang diberikan hikmah itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang yang menggunakan akal fikirannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 269)

Justeru, minda kelas pertama bukan saja kuat dan sihat dari segi intelek, juga nilai keperibadian. Bukan saja sarat dengan pengetahuan dan idea tetapi juga kekuatan menyalurkannya kepada inovasi, kreativiti tindakan, amalan serta produk berkualiti.

Bukan saja kuat dalam menyalurkannya kepada hasil dan output berkualiti tetapi juga kuat dalam memastikannya bermanfaat, tidak memudaratkan, selaras dengan piawaian syarak, pengharapan pelanggan, standard piawaian dan matlamat yang disasarkan.

Minda kelas pertama juga adalah minda berjenama iaitu yang mampu memikirkan strategi mengekalkan imej perkhidmatan serta mengekalkan kepuasan dan kepercayaan pelanggan secara berterusan.

Minda berdaya tahan
Selain itu, ia juga merujuk kepada minda berdaya tahan iaitu yang mampu bertindak balas dalam pelbagai suasana dan halangan berbeza. Justeru, minda kelas pertama menggambarkan ketinggian sikap, personaliti dan keperibadian seseorang pegawai.

Ciri minda ini berlawanan dengan minda kelas ketiga yang cetek, jumud, tertutup, bersikap negatif, tidak berkemampuan menyalurkan daya intelektual kepada output dan hasil berkualiti, mengekalkan kepuasan pelanggan atau berdaya tahan.

Tanpa minda kelas pertama, kemudahan serta infrastruktur canggih di pejabat juga tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan budaya kerja kelas pertama tidak berjaya direalisasi. Bagi penjawat awam, usaha terkini melalui Program Transformasi Minda (PTM) dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 14 Tahun 2012 sudah diperkenalkan.

Ia sebagai satu pendekatan memberi pendedahan dan penyesuaian minda pegawai supaya dapat melahirkan pegawai awam yang mempunyai sikap dan pemikiran progresif, yang inginkan kecemerlangan serta memiliki etika dan nilai yang sejajar dengan agama.

Minda ini berkait rapat dengan ciri minda hikmah ditekankan dalam al-Quran dan Rasulullah iaitu merujuk kepada sesuatu yang membawa kebaikan serta manfaat kepada kehidupan manusia termasuklah apa juga bidang ilmu yang membawa kesejahteraan.

Firman Allah SWT: “Allah memberikan hikmah kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan yang ditentukan-Nya). Dan sesiapa yang diberikan hikmah itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang yang menggunakan akal fikirannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 269)

Fahami rahsia hukum dan agama

Hikmah ialah kemampuan memahami rahsia hukum dan agama. Ada yang mentafsirkannya sebagai pemahaman mendalam mengenai al-Quran dan sunnah. Menurut Imam Al-Qurtubi dalam tafsirnya, ia merujuk kepada segala kebenaran berkaitan pegangan, kefahaman agama, amalan dan kebijaksanaan.

Dalam tafsir Al-Manar, ia dikatakan bermaksud kefahaman yang bukan sekadar pada perkara zahir, bahkan mengetahui tujuan yang membawa kepada kebaikan dunia dan akhirat. Imam Fakhrur al-Razi dalam tafsirnya mengaitkan hikmah dengan kefahaman menggabungkan aspek teori dan amalan.

Ada yang mentafsirkannya sebagai tepat dalam percakapan dan bertindak. Yang lain berpendapat ia sebagai ilmu bermanfaat yang membuahkan amal serta mengetahui rahsia hukum syarak.

Dalam Lisan Al Arab, hikmah ialah mengetahui suatu paling utama dengan ilmu yang termulia. Rasulullah SAW amat mengalu-alukan setiap perkara yang lahir dari sifat minda hikmah ini atas sifatnya untuk menghasilkan kebaikan dan manfaat jangka panjang.

Baginda menerima idea menggali parit dalam peperangan Khandak walaupun ia bukan datangnya daripada kalangan orang Arab, sebaliknya oleh pemuda Parsi iaitu Salman al-Farisi dan perkara itu tidak pernah berlaku dalam strategi peperangan ketika itu.

Justeru, dalam melahirkan pekerja minda kelas pertama, cara dan proses berfikir yang betul dan baik melalui pembelajaran sepanjang hayat perlu terus digalakkan di tempat kerja. Semua usaha ini perlu diperkukuhkan dengan penekanan terhadap kerja secara berintegriti serta akhlak terpuji.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url