Penggunaan Dakwat Kekal Tidak Jejas Ibadah
Penggunaan indelible ink atau dakwat kekal adalah harus dan dibenarkan dari aspek syarak kerana ia tidak akan menimbulkan sebarang masalah kepada ibadah umat Islam.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) Datuk Othman Mustapha dalam satu kenyataan hari ini berkata indelible ink tidak mengandungi bahan najis yang diharamkan oleh syarak, tidak memberi kesan mudarat dan tidak menghalang air untuk sampai ke kulit (telap air) apabila digunakan.
"Ini diputuskan oleh Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 11 Januari 2012 mengenai hukum penggunaan indelible ink yang akan digunakan sempena pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).
"Muzakarah memutuskan perkara ini berdasarkan pembentangan laporan analisis kimia, taklimat dan penjelasan daripada Jabatan Kimia serta penjelasan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," katanya.
Beliau berkata kenyataan itu dikeluarkan bagi memberi penjelasan kepada sesetengah pihak yang masih khuatir dan ragu-ragu sejauh mana penggunaan dakwat kekal itu dibenarkan oleh syarak dan telah dibincangkan di peringkat Muzakarah Fatwa.
Anggota keselamatan terdiri daripada pasukan tentera dan polis serta pasangan masing-masing yang menunaikan hak sebagai pengundi awal hari ini dicalit dakwat kekal berwarna merah buah saga di jari telunjuk kiri.
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dilaporkan berkata warna dakwat kekal yang digunakan ke atas pengundi awal pada hari ini berbeza dengan warna dakwat kekal yang akan digunakan Ahad ini.
Dakwat Kekal Tidak Boleh Hilang 100 %
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekali lagi memberi jaminan bahawa dakwat kekal yang dicalitkan di jari pengundi pada Ahad ini tidak boleh hilang 100 peratus.
Tidak kira bagaimana anda berusaha untuk membersihkan dakwat di jari anda itu, ia masih kelihatan sedikit di atas kulit.
"Saya yakin ia tidak mungkin dapat dibersihkan 100%. Dakwat itu diperbuat daripada nitrat perak. Mungkin seseorang boleh mengikis dakwat pada kuku mereka tetapi ia masih boleh kelihatan di atas kulit sekitar kuku.
"Kerani-kerani di pusat mengundi dilengkapi dengan kanta mata pembesar dan mereka akan memeriksa kesemua jari pengundi sebelum membenarkan mana-mana individu untuk mengundi," kata Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar.
Malah jika seseorang dapat mencuci dakwat tersebut, beliau berkata, adalah mustahil untuk individu tersebut mengundi sebanyak dua kali.
"Sebaik saja seorang invidivu mengundi, namanya akan dipotong dari senarai daftar pengundi. Jadi, tiada cara bagi sesiapa saja untuk mengundi dua kali," katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan di Internet kononnya beberapa pengundi yang mengundi awal boleh membersihkan dakwat tersebut dari jari mereka.
Wan Ahmad berkata, beliau memantau beberapa pengundi yang cuba membersihkan jari mereka dengan kertas tisu sebaik saja dakwat tersebut dicalitkan.
"Mereka mungkin mengelap sedikit dakwat tersebut kerana ia tidak kering sepenuhnya. Saya mencadangkan supaya SPR tidak menyediakan kertas tisu di pusat mengundi pada 5 Mei nanti," katanya.
- BERNAMA