Apa yang anda perlu ketahui tentang kad kredit

Sebelum menggunakan kad kredit, anda perlu memahami terma dan syarat yang diberikan seperti berikut:

Had kredit

Ini adalah had maksimum ditetapkan bagi setiap kad. Jika had ini habis digunakan, anda tidak boleh menggunakan kad sehingga anda menjelaskan sebahagian daripada bayarannya.

Lazimnya, had kad kredit adalah 2 hingga 3 kali ganda pendapatan bulanan anda. Sekiranya anda menggunakan had maksimum, ini bermakna anda telah membelanjakan 2 hingga 3 bulan pendapatan masa depan anda!

Yuran dan caj

Terdapat pelbagai jenis yuran dan caj yang anda perlu fahami, termasuk:
• Yuran penyertaan – Pengeluar kad kredit mungkin akan mengenakan yuran penyertaan sekali sahaja. Yuran ini mungkin berbeza antara satu pengeluar kad dengan yang lain
• Yuran tahunan – Ini adalah yuran yang perlu dibayar apabila anda telah menerima kad kredit. Terdapat juga pengeluar kad kredit yang mengecualikan yuran ini jika anda memenuhi syarat penggunaan kad kredit anda
• Caj kewangan – Ini adalah caj yang dikenakan keatas baki yang belum dijelaskan selepas tarikh akhir pembayaran dan dikira berdasarkan baki harian.

Pada masa ini pemegang kad kredit dikenakan faedah secara bertingkat. Ini bertujuan untuk menggalakkan penggunaan kad kredit secara berdisiplin.
• Yuran pendahuluan wang tunai – Yuran ini dikenakan setiap kali pendahuluan wang tunai dilakukan dan biasanya antara 3% hingga 5%. Yuran ini merupakan caj kewangan tambahan dan dikira dari tarikh wang tunai tersebut diambil
• Caj bayaran lewat – Ini adalah caj yang dikenakan jika anda gagal menjelaskan jumlah minimum bulanan sebelum tarikh akhir pembayaran yang ditetapkan. Jika anda membayar selepas tarikh ini, anda akan dikenakan caj kewangan (faedah ke atas baki belum jelas) dan juga caj bayaran lewat
• Cukai perkhidmatan – Bermula tahun 2010, setiap kad kredit akan dikenakan cukai perkhidmatan tahunan sebanyak RM50 ke atas pemegang kad utama dan RM25 ke atas pemegang kad sampingan. Bayaran ini akan dimasukkan dalam penyata kad kredit anda

Tempoh tanpa faedah

Anda boleh menikmati tempoh tanpa faedah, kebiasaannya antara 20 hingga 50 hari dari tarikh urus niaga mula direkodkan, sekiranya anda tidak mempunyai sebarang jumlah tertunggak dari bulan sebelumnya.

Oleh itu, sekiranya anda hanya membayar sebahagian atau jumlah minimum baki yang perlu dibayar, anda akan dikenakan faedah ke atas semua pembelian yang dibuat melalui kad kredit dari tarikh urus niaga direkodkan. Ini bermaksud jika bil kad kredit anda tidak dijelaskan dengan sepenuhnya pada tarikh akhir pembayaran dan baki dibawa ke bulan berikutnya, anda tidak akan menikmati tempoh tanpa faedah. Faedah akan dikenakan ke atas urus niaga yang seterusnya dan faedah ini akan dikompaunkan pada kadar harian sehingga baki dibayar sepenuhnya.

Kemudahan Pemindahan Baki

Pemindahan baki membolehkan pemegang kad kredit memindahkan semua atau sebahagian daripada baki kad kredit dari satu bank ke bank lain untuk tujuan menjimatkan caj faedah. Biasanya, bank akan menawarkan kemudahan ini pada kadar ‘promosi’ untuk menggalakkan anda memindahkan baki kad kredit kepada mereka. Ini mungkin cadangan yang baik kerana anda dapat menjimatkan kos faedah. Walau bagaimanapun, sebelum memutuskan pemindahan baki, tanya diri anda soalan berikut:
• Berapa lamakah kadar ‘promosi’ ini ditawarkan?
• Apakah kadar efektif selepas tamat tempoh kadar promosi tersebut?
• Adakah kadar promosi ini juga untuk pembelian baru?
• Adakah anda akan dikenakan yuran pemindahan baki?
• Adakah anda akan dikenakan yuran pembatalan atau penyelesaian awal?

Walaupun ini mungkin strategi yang baik untuk mengurangkan caj faedah ke atas baki kad kredit yang belum dibayar, anda perlu juga meneliti terma dan syarat kemudahan seperti ini.

Contohnya, ada syarat yang menyatakan anda hanya boleh membuat bayaran minimum 5% ke atas jumlah yang dipindahkan sewaktu tempoh promosi dan anda dilarang membayar lebih atau melangsaikan sepenuhnya. Selain itu, mungkin ada tempoh ‘lock-in’ yang melarang anda memindahkan baki ke bank lain tanpa membayar penalti terlebih dahulu. Sekiranya anda masih menggunakan kad yang telah dipindahkan bakinya, pastikan anda menggunakan baki had kad tersebut secara berhemah. Ini adalah untuk mengelakkan anda daripada berbelanja melebihi kemampuan anda.

Anda juga perlu mematuhi jumlah dan jadual pembayaran yang telah dipersetujui. Jika anda gagal membuat bayaran, kadar promosi akan bertukar kepada kadar biasa atau 17.5% berserta dengan caj bayaran lewat dan penalti yang lain. Syarat di atas juga merangkumi ‘skim bayaran ansuran fleksibel’ yang ditawarkan.

Skim bayaran fleksibel / Skim tanpa faedah

Kemudahan ditawarkan oleh pengeluar kad kredit dan peniaga terpilih di mana pemegang kad boleh membayar pembelian secara ansuran antara 3 hingga 24 bulan tanpa faedah bergantung kepada had kredit pemegang kad.

Liabiliti pemegang kad sampingan

Pemegang kad utama akan dipertanggungjawabkan untuk menanggung semua pembayaran ke atas pembelian yang dibuat oleh pemegang kad sampingan. Walau bagaimanapun, kebanyakan pengeluar kad kredit memerlukan pemegang kad sampingan menanggung liabiliti sekiranya pembayaran tidak dibuat.


- AKPK


http://www.akpk.org.my/learning/articles-and-tips/id/535/categoryid/3/apa-yang-anda-perlu-ketahui-tentang-kad-kredit


Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url