Isu pertukaran guru: Diselesai cara baik - Menteri Pendidikan

PUTRAJAYA 8 Julai - Kementerian Pendidikan telah menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi menyelesaikan isu permohonan pertukaran guru sekolah, kata Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata, kementerian memandang serius isu berkenaan dan cuba menyelesaikannya dengan cara terbaik.

"Kementerian telah mengadakan satu jawatankuasa untuk menyiasat, menambah baik dan memastikan perkara ini diselesaikan dengan baik. Kita cuba cari cara terbaik untuk menyelesaikan masalah ini," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan pra pelancaran kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) ke-5, 2013 di sini hari ini.

Menurutnya, masalah itu berlarutan kerana permohonan pertukaran guru-guru mencecah sehingga 16,000 setahun sedangkan kekosongannya hanya setakat 2,000 hingga 3,000 tempat sahaja.

Menyentuh, keselamatan pelajar Malaysia di Mesir, beliau berkata, mereka dalam keadaan selamat dan setakat ini masih belum ada keperluan membawa mereka pulang ke tanah air.

"Kerajaan belum buat keputusan sama ada mereka perlu balik atau tidak," katanya.

"Kita masih mendapat berita mengatakan keadaan tidak begitu tegang sangat.

"Kalau pelajar-pelajar kita tak keluar, duduk dalam keadaan selamat, mereka masih selamat," katanya.

- BERNAMA


Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url