Wajah komersial Muslihah


Tidak sukar menzahirkan apa yang terniat di hati dengan Muslihah Hassan. Gadis berusia 19 tahun ini seakan bijak 'membaca' fikiran penulis dalam menterjemahkan apa yang dimahukan menerusi liuk lentok gerak gaya persis seorang model profesional.

Lalu segala arahan tidak perlu diperincikan kerana dia memahami apa yang dikehendaki jurugambar, Mohd Najib Mohd Nor. Malah dia turut membuktikan bahawa dirinya bukan sekadar model yang ibarat patung membiarkan diri dihias seadanya.

Muslihah menyerlahkan lagi kebijaksanaannya dalam meneroka gaya pemakaian selendang dengan caranya tersendiri.

Gadis kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini, sebenarnya tidak asing dalam dunia peragaan busana muslimah, walau baru melangkah ke dunia fesyen kira-kira dua tahun lalu.

Muslihah ternyata mempunyai bakat dan masa depan yang cerah dalam bidang tersebut.

Membahasakan diri sebagai Iha, dia cukup berterima kasih kepada pemilik Sesuci Bridal Boutiqe, pasangan isteri yang hanya mahu dikenali sebagai Kak Aza dan Abang Amer, yang membawanya ke dunia peragaan.

"Mereka yang bertanggung jawab membawa Iha ke dunia peragaan . Sudah tentu pertama kali Iha menggayakan pakaian dari butik mereka iaitu.

"Perasaan ketika itu sungguh teruja maklum saja baru habis SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dan dapat pula peluang menjadi model.

"Kak Aza yang mengenal pasti kebolehan Iha selepas melihat Iha yang ketika itu menolong kakak di sebuah restoran di Johor Bahru. Kami bertukar nombor telefon dan itulah titik permulaan Iha bergelar model.

"Memang Iha tak sangka dapat peluang itu kerana sejak kecil suka tengok peragawati bergaya dan suka disolek dan bergambar. Akhirnya tak sangka dunia peragaan menjadi sebahagian daripada diri Iha sekarang," jelasnya panjang lebar.

Sejak itu Iha makin dikenali dan sering dijemput untuk memperagakan pakaian atau hijab dari butik-butik terbaru di pasaran.

Iha tidak menafikan berasa amat bertuah kerana dapat memberikan yang terbaik buat perniagaan usahawan Melayu sendiri.

"Walaupun Iha biasa bergambar, tetap ada cabarannya yang tersendiri apatah lagi jurugambar mempunyai cita rasa mereka masing-masing.

" Memang adakalanya penat, namun pengalaman mengajar Iha mengetahui apa yang dimahukan setiap jurugambar yang bekerjasama dengan Iha. Tidak dapat dinafikan, dunia peragaan menyerlahkan lagi keyakinan diri Iha dan menjadikan Iha seorang yang peka dengan perubahan semasa dunia fesyen," katanya.

Ramadan orang bujang

Sementelah sesi fotografi berlangsung di awal Ramadan, tidak lengkap rasanya temu bual dibuat tanpa menyentuh tentang bulan mulia ini.

"Ramadan Iha pada tahun ini bersama rakan-rakan serumah. Seperti biasa kami akan berebut-rebut untuk memasak untuk juadah berbuka," ujar Muslihah penuh teruja.

Muslihah juga akan pulang ke rumah kakaknya yang terletak di Gombak, Kuala Lumpur pada setiap hujung minggu untuk berpuasa bersama kakak dan keluarganya.

"Sejujurnya, Iha sangat rindu untuk bersahur dan berbuka bersama mama dan abah di kampung, begitu juga dengan kuih-muih di Kelantan. Sambutan Hari Raya Aidilfitri pula akan di sambut beramai-ramai bersama keluarga di kampung halaman Iha iaitu di Kota Bharu, Kelantan. Semoga sambutan hari raya pada kali ini lebih seronok berbanding sebelum ini," ujar anak keempat daripada lima beradik ini.

Facebook Muslihah Hassan : http://www.facebook.com/siti.muslihahii
 
- UTUSAN



Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url