Penerima BR1M dilindungi insurans

Kira-kira 5.9 juta penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan menerima manfaat khairat kematian RM30,000 menerusi caruman Insurans Takaful Berkelompok Rakyat 1Malaysia (i-BR1M) bermula tahun 2014.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan, berkata pihaknya kini dalam proses rundingan dengan beberapa konsortium syarikat insurans untuk tujuan itu.

“Langkah kerajaan untuk menyediakan kemudahan insurans ini bertujuan membela kebajikan rakyat, khususnya kepada penerima BR1M sekiranya mereka ditimpa sebarang kejadian tidak diingini seperti kematian atau hilang keupayaan untuk bekerja.

“Insurans ini akan diperluaskan kepada semua penerima BR1M bermula tahun depan. Bagaimanapun, penerima BR1M kategori individu bujang berusia 21 tahun ke atas dan berpendapatan bawah RM2,000 tidak layak,” katanyaselepas menghadiri Karnival Keusahawanan dan Khidmat Masyarakat Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Dataran Datuk Jalok, Benut, Johor.

Ketika membentangkan Bajet 2014 pada bulan lalu, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan menaikkan nilai BR1M, memperluaskan pemberiannya dan mencadangkan i-BR1M dengan peruntukan RM4.6 bilion yang dijangka memanfaatkan 7.9 juta penerima.

Perdana Menteri berharap i-BR1M memberi perlindungan maksimum sehingga RM30,000 kepada penerima BR1M jika berlaku kematian atau hilang upaya kekal.

- BERITA HARIAN

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url