FAMA Perkenal Program Jimat Belanja Dapur Pasar Tani
Program dilaksanakan sepanjang tahun ini, bertujuan mengurangkan beban rakyat yang berdepan kenaikan harga makanan, terutama ketika musim tengkujuh pada masa ini.
Program jangka pendek
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata program jangka pendek bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) itu membabitkan 517 pasar tani yang menjual pada harga jauh lebih rendah berbanding pasaran semasa.
Antara barangan ialah ayam, ikan dan sayur yang sering menjadi pilihan pengguna. Justeru, pengguna boleh membuat pilihan mendapatkan barangan pada harga lebih murah, katanya selepas melancarkan Program Jimat Belanja Dapur, di Pasar Tani Putrajaya di Presint 2, di sini semalam.
Turut hadir, Pengerusi FAMA, Tan Sri Badruddin Amiruldin dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Irmohizam Ibrahim.
Ismail berkata, sebagai contoh bagi mengurangkan harga ikan, Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) disyor memberi tiga pilihan harga kepada pengguna iaitu ikan segar tempatan, segar import atau sejuk beku.
Beliau telah mengarahkan NEKMAT dan FAMA mengimport lebih banyak produk dari luar negara serta menjualnya pada harga murah kepada pengunjung Pasar Tani.
Kurang tekanan harga
Walaupun kenaikan harga barangan basah perkara biasa ketika musim tengkujuh, kerajaan mengambil inisiatif membantu rakyat mengurangkan tekanan kos kenaikan harga.
Kementerian juga akan melaksanakan program jangka sederhana dan panjang bagi memastikan bekalan barang basah mencukupi termasuk memperkasa program Pengukuhan Ladang Kontrak (KUKUH).
Ini dilakukan dengan menambah kepelbagaian jenis sayuran, selain FAMA melaksanakan tambahan stok beberapa komoditi terpilih bagi menstabilkan harga, katanya.
Sementara itu, Badruddin berkata, FAMA menyasarkan 1,000 Karavan Tani beroperasi tahun ini termasuk di Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang bagi memudahkan rakyat terutama di kawasan perumahan kos rendah membeli barang pada harga lebih murah.
- BERITA HARIAN