Top Ad 728x90

Kanak-kanak 11 tahun lahir bayi di klinik swasta

Kanak-kanak 11 tahun lahir bayi di klinik swasta

Seorang kanak-kanak berusia 11 tahun tidak sempat ke hospital untuk melahirkan anak setelah mengadu sakit perut kepada ibunya.

Kanak-kanak itu dibawa ibunya ke salah sebuah klinik swasta di sini kira-kira jam 9 pagi dan melahirkan anak di klinik berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Hamzah Alias berkata, mangsa mengadu sakit perut kepada ibunya lalu dibawa ke klinik berkenaan sekitar jam 9 pagi.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan hampir bersalin. Namun mangsa tidak mengetahui dirinya mengandung.

“Doktor di klinik berkenaan segera memaklumkan perkara itu kepada Hospital Jempol, tetapi kanak-kanak itu tidak sempat ke hospital kerana sudah melahirkan bayi di klinik itu," katanya.

Bagaimanapun, dia selamat melahirkan bayi lelaki secara normal dan kini sedang mendapat rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah (HTAN).

Hamzah berkata, waris kanak-kanak ini juga membuat laporan di Balai Polis Bahau kira-kira jam 11 pagi berhubung insiden ini.

Kes ini bagaimanapun masih dalam siasatan polis di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Difahamkan, mangsa dipercayai tinggal bersama ibu bapanya di Bahau dan masih bersekolah.

Sementara itu, di KUALA PILAH, kes ini mendapat perhatian Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Datuk Norhayati Omar.

Beliau sempat menziarah kanak-kanak itu di HTAN semalam.

Kata Norhayati, kanak-kanak itu berada dalam keadaan stabil begitu juga dengan bayi lelakinya.

“Saya beri kata-kata sokongan dan semangat kepada kanak-kanak itu bagi mengelakkan dirinya tertekan dan trauma.
“Saya turut menasihatkan kepada ibu kanak-kanak itu supaya tabah dan menjaga anak serta cucunya dengan baik,” katanya.

Menurutnya, buat masa ini, hak penjagaan terhadap bayi itu masih dalam perbincangan antara Jabatan Kebajikan Masyarakat dan keluarga tersebut.

“Perbincangan masih dilakukan, lagipun kes ini masih dalam siasatan polis.

“Kita perlu memberi laluan kepada siasatan polis untuk mencari individu yang perlu bertanggungjawab,” katanya.

Beliau juga menasihatkan kepada ibu bapa supaya memantau pergerakan anak-anak termasuk mengehadkan penggunaan telefon pintar.

“Saya bimbang, zaman serba canggih, semua maklumat ada di hujung jari. Kanak-kanak mudah terpengaruh.

“Kalau sudah berlaku perkara tidak diingini seperti ini, ia memberi kesan berpanjangan.

“Saya berharap supaya ibu bapa lebih peka perkembangan anak-anak mereka sama ada di dalam rumah mahupun di luar rumah,” katanya.

- Sinar Harian



0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90