Ikan Paus Ditemui Mati Di Pesisir Pantai Dekat Batu Pahat
Seekor ikan paus ditemui mati di pesisir Pantai Sarang Buaya, Semerah dekat Batu Pahat, petang Selasa, 10 Februari 2016.
Ketua Penguatkuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pangkalan Maritim Batu Pahat, Lt Komander Maritim, Muhammad Zulkarnain Abdullah berkata, mamalia tersebut ditemukan nelayan sebelum melaporkan kepada pihak berkuasa.
"APMM menerima laporan pada 4.47 petang. Sebuah bot kilat 47 bersama empat anggota APMM kemudian dihantar ke lokasi terbabit bagi bantuan menyelamat, namun, ikan itu didapati telah mati," katanya menerusi kenyataan.
Muhammad Zulkarnain berkata, usaha untuk menarik bangkai ikan paus tersebut masih gagal sehingga 9.00 malam Selasas kerana faktor air surut dan ia akan disambung pagi Rabu.
Pada Isnin, seekor ikan paus sepanjang 20 meter dan seberat empat tan ditemui di tepi pantai Taman Rekreasi Pantai Rambah, dekat Pontian dan haiwan itu kemudian berjaya ditarik ke laut.
Bagaimanapun, buat masa ini, belum dapat dipastikan sama ada haiwan yang ditemukan mati di Pantai Sarang Buaya terbabit adalah ikan paus yang sama ditemukan di Pantai Rambah.
- Bernama