Top Ad 728x90

,

Kes Difteria Penyebab Kematian Kanak-Kanak

Kes Difteria Penyebab Kematian Kanak-Kanak



Kementerian Kesihatan (KKM) menasihati ibu bapa untuk memastikan anak mereka mendapat imunisasi vaksin lima serangkai yang lengkap bagi melindungi mereka daripada pelbagai ancaman penyakit termasuk jangkitan difteria. 

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata vaksin difteria terkandung dalam vaksin lima serangkai DTaP-IPV//Hib bagi menghindari Difteria, Pertusis, Tetanus, Polio dan Haemophilus Influenzae Type B.

"Ia diberikan pada usia dua, tiga, lima dan 18 bulan. Liputan imunisasi yang melebihi 95 peratus dalam komuniti akan memberi imuniti kelompok dan melindungi kanak-kanak daripada dijangkiti bakteria ini.

"Kanak-kanak yang telah menerima imunisasi lengkap hanya akan mengalami gejala ringan apabila dijangkiti dan terlindung daripada komplikasi.

"Justeru, KKM ingin memberi penekanan betapa pentingnya kanak-kanak diberikan imunisasi yang lengkap termasuk vaksin difteria bagi memberikan perlindungan terhadap jangkitan penyakit dan mencegah berlaku komplikasi akibat jangkitan," katanya dalam kenyataan di sini Rabu.

Menurut Dr Noor Hisham, difteria adalah penyakit yang disebabkan oleh bakteria Corynebacterium diphteriae yang tersebar melalui titisan cecair pernafasan.

Bakteria itu menjangkiti tekak (tonsil dan farinks) dan menghasilkan toksin yang menyebabkan keradangan di sekitar tekak dan bengkak leher yang boleh menyebabkan pesakit sukar bernafas.

"Toksin ini juga boleh menyerap ke dalam darah, melumpuhkan saraf dan menyebabkan keradangan jantung (miokarditis) yang menyebabkan kematian.
Jangkitan difteria mempunyai kadar kematian yang tinggi, iaitu antara 25 ke 50 peratus," katanya.

Semalam media melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang berasal dari Ujong Pasir, Melaka meninggal dunia di Hospital Melaka pada Sabtu lepas akibat dijangkiti bakteria difteria.

Dr Noor Hisham berkata sehingga kini terdapat dua kes kematian disyaki akibat jangkitan itu dengan masing-masing satu kematian di Melaka pada Sabtu lepas dan Kedah, pagi tadi.

Menurut beliau, kedua-dua kes kematian tidak menerima imunisasi difteria yang lengkap dan meninggal dunia kerana komplikasi jangkitan.

"Pesakit yang meninggal dunia di Hospital Melaka telah dirujuk oleh Klinik Kesihatan Ujong Pasir pada 16 Jun 2016 dengan sejarah demam selama lapan hari dan batuk, sakit tekak, sukar menelan, kurang selera makan serta leher bengkak selama tiga hari.

"Ujian sampel swab tekak disahkan positif difteria pada 20 Jun 2016 oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Kuala Lumpur. Sementara pesakit kanak-kanak warga asing yang meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar belum diketahui keputusan ujian".

Jelas Dr Noor Hisham tindakan kawalan masih terus dijalankan di rumah pesakit, tadika, sekolah dan kawasan kejiranan bagi mengesan kontak rapat bagi kedua-dua negeri terlibat.

- mSTAR

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90