Donald Trump angkat sumpah Presiden Amerika Ke-45
Donald J. Trump mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat yang ke-45 pada 21 Januari 2017, bermulanya era baru di dalam arena pemerintahan politik bagi membentuk semula negara itu lapor NYPost.
Trump mengangkat sumpah di Pejabat tadbir Ketua Hakim Mahkamah Agung, John Robert dan kemudiannya memberi ucapan kepada ratusan ribu yang hadir menyaksikan peristiwa bersejarah itu pada pukul 1.05 pagi (12.05 tengah hari Jumaat waktu Washington).
Bilionair Amerika Syarikat berusia 70 tahun itu menggantikan Barack Obama selepas mengalahkan calon Demokrat, Hillary Clinton pada Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat, 8 Nov lepas.
Majlis bersejarah itu, yang disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen antarabangsa, dipengerusikan oleh Roy Blunt, seorang senator Republikan dari Missouri dan juga Pengerusi Jawatankuasa Bersama Kongres Mengenai Aktiviti Perasmian.
Trump merupakan presiden pertama negara itu yang tidak pernah berkhidmat dengan tentera atau memegang jawatan dalam kerajaan.
Dalam ucapan Trump, "Kita sebagai rakyat Amerika kini bersama-sama dalam usaha membina semula negara dan menunaikan janji kepada masyarakat oleh itu bersama-samalah kita menentukan perjalanan negara ini untuk tahun-tahun yang mendatang serta hadapi cabaran untuk memastikan tugas ini selesai.
"Setiap empat tahun, kita akan berkumpul untuk menjalankan pemindahan kuasa ini secara aman dan saya amat berterima kasih kepada Presiden, Barrack Obama dan juga wanita pertama, Michelle Obama untuk pertolongan mereka sepanjang peralihan kuasa ini. Terima kasih," katanya di dalam ucapan tersebut.
Turut hadir ialah bekas Presiden Barrack Obama dan juga isterinya, Michelle Obama dan Trump kemudiannya mengulangi sumpahnya untuk mengubah kerajaan dan hala tuju negara secara dramatik.
"Majlis pada hari ini mempunyai makna yang sangat istimewa kerana hari ini kita bukan sahaja menyaksikan peralihan kuasa dari satu pihak ke pihak yang lain tetapi satu perpindahan kuasa dari Washington, DC kepada rakyat.
"Sudah terlalu lama rasanya sekumpulan kecil di negara kita yang meraih ganjaran sedangkan rakyat yang menanggung kos, Washington kaya namun rakyat tidak berkongsi kekayaan itu.
"Semua perubahan bermula di sini kerana sekarang merupakan masa anda, ia milik kamu semua," katanya lagi.
Trump juga menjadi serius ketika berbicara soal tema kempen utama beliau iaitu pekerjaan, undang-undang, tawaran perniagaan yang lebih baik dan peningkatan infrastruktur.
"Saya akan berjuang untuk anda semua dan tidak akan mengecewakan kamu, Amerika akan mula menang lagi dan menjadi unggul tidak seperti sebelum ini.
"Kita akan bawa kembali pekerjaan, sempadan dan juga kekayaan kita dan yang penting, impian kita, jadikan Amerika kembali hebat," katanya.