Dego Ride Diarah Henti Operasi
Dego Ride mengarahkan kira-kira 6,000 penunggang motosikalnya supaya menghentikan operasi serta-merta susulan arahan Kementerian Pengangkutan supaya pihaknya berbuat demikian serta-merta.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Dego Ride, Nabil Feisal Bamadhaj berkata, arahan tersebut dikeluarkan sehingga isu perkhidmatan perkongsian pengangkutan menggunakan motosikal itu diselesaikan dengan pihak berkuasa.
"Kita arahkan semua penunggang menghentikan operasi serta-merta kerana kita tidak mahu mereka melanggar undang-undang.
"Kita juga mahu bekerjasama dengan pihak berkuasa supaya isu ini dapat ditangani secara baik," katanya kepada mStar Online pada lewat malam Isnin.
Pada Isnin, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai memberi amaran kepada Dego Ride supaya tidak mencabar undang-undang dan beroperasi tanpa lesen.
Beliau berkata, undang-undang menetapkan mengikut Seksyen 23 Akta Pengangkutan Jalan 1987, motosikal tidak boleh dijadikan sebagai kenderaan komersial manakala Seksyen 16 dan 47 Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) 2010, tidak boleh membawa kenderaan komersial tanpa permit.
Nabil bagaimanapun memberitahu pihaknya terus komited untuk memastikan Dego Ride dapat beroperasi sebagai teksi motosikal secara sah.
Tambahnya, hasrat itu bagi memberi peluang pekerjaan kepada golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) di samping menawarkan pilihan pengangkutan pada kos murah kepada pengguna.
"Oleh itu, kita akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Pengangkutan dan SPAD secepat mungkin untuk menyelesaikan isu berbangkit," ujar Nabil.
Sebelum ini, Nabil telah mengadakan dua pertemuan secara berasingan dengan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi dan Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar berhubung isu Dego Ride.
Isu Dego Ride bermula pada 24 Januari lalu selepas Ab Aziz dalam sidang media mengumumkan bahawa teksi motosikal sebagai satu perkhidmatan tanpa lesen dan mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil tindakan.
Menerusi arahannya pada Isnin, Tiong Lai berkata, walaupun penggunaan motosikal mampu mengelak kesesakan lalu lintas tetapi dari segi keselamatan jalan raya, jenis perkhidmatan itu tidak akan membantu mengurangkan jumlah kemalangan motosikal yang tinggi setiap tahun.
Sabtu lalu, mStar Online melaporkan bahawa Dego Ride berkeras untuk meneruskan operasi walaupun tidak mempunyai lesen dan JPJ diarahkan untuk mengambil tindakan.
Perkhidmatan Dego Ride boleh ditempah menerusi aplikasi WhatsApp, dengan kadar tambang dari RM2.50 untuk 3 kilometer (km) pertama, dan caj 60 sen dikenakan bagi setiap km seterusnya.
Sejak beroperasi pada November tahun lalu, lebih 15,000 penumpang telah menggunakan perkhidmatan Dego Ride di sekitar Lembah Klang.
- mSTAR