WikiLeaks Dedah Rahsia CIA Amerika



Agensi Perisikan Pusat (CIA) menu­duh WikiLeaks membahayakan nyawa rakyat Amerika Syarikat (AS) dengan membantu musuh-musuh dan mengganggu usaha memerangi ancaman pengganas apabila laman antirahsia itu mendedahkan peralatan-perala­tan penggodam CIA.

Seorang jurucakap wanita CIA enggan mengesahkan kesahihan material yang didedahkan oleh WikiLeaks, yang mereka dakwa dibocorkan menerusi operasi penggodaman agensi risikan tersebut.

Jurucakap itu, Heather Fritz Horniak berkata: “Warga Amerika perlu berasa bimbang dengan apa-apa pendedahan WikiLeaks yang direka untuk memusnahkan keupayaan komuniti perisikan untuk melindungi AS daripada ancaman pengganas dan musuh lain.”

“Pendedahan seperti itu bukan hanya menggugat operasi dan kakitangan AS, tetapi membantu musuh-musuh kami dengan peralatan dan maklumat untuk melakukan ancaman,” katanya.

Horniak mempertahankan operasi-operasi siber CIA, rentetan pendedahan WikiLeaks menunjukkan fokus penuh diberikan kepada tindakan-tindakan pencerobohan ke dalam perkakas elektronik peribadi melalui penggunaan sistem hasad.

“Ia adalah tugas CIA untuk menjadi inovatif, termaju dan barisan pertama sistem pertahanan untuk melindungi negara daripada ancaman musuh-musuh asing,” katanya.

Pada Selasa lalu, WikiLeaks mendedahkan hampir 9,000 dokumen yang didakwa dibocor­kan daripada CIA, sambil menyi­fatkan itu sebagai pendedahan terbesar membabitkan material rahsia perisikan.

“Koleksi luar biasa ini me­rangkumi lebih daripada beberapa ratus juta talian kod, memberi pemiliknya keupayaan penuh penggodaman CIA,” kata WikiLeaks.

Dokumen itu me­nunjukkan penggodam CIA boleh menukar fungsi televi­syen menjadi alat pendengaran, memintas sistem penyulitan aplikasi-aplikasi popular dan mungkin mengawal kenderaan seseorang.

CIA didakwa menggodam peranti elektronik peribadi kelua­ran syarikat seperti Apple dan Samsung, telefon Android, perisian Microsoft dan penghala (router).

– AFP


Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url