Top Ad 728x90

Kenyataan Perkahwinan Perogol Dengan Mangsa Disalahertikan - Shabudin



Anggota Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahya berkata kenyataannya berkaitan isu perkahwinan perogol dengan mangsa yang tular sejak semalam tidak tepat dan disalahertikan.
Katanya, laporan media yang menunjukkan dirinya menyokong perkara itu diambil dari luar konteks, kerana penekanan sebenar beliau adalah peruntukan undang-undang sedia ada yang tidak menghalang perkahwinan dalam usia 16 tahun bagi perempuan dan 18 tahun bagi lelaki.

"Mengikut enakmen Islam, mana-mana gadis yang hendak berkahwin bagi yang berumur 16 tahun dan ke bawah hendaklah mendapat kebenaran wali dan mahkamah, manakala bagi lelaki bawah umur 18 tahun yang juga ingin berkahwin perlu mendapatkan kebenaran mahkamah dan ia tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya.

"Ini bermakna enakmen Islam tidak memberi kuasa sepenuhnya kepada wali bagi membenarkan berkahwin di bawah usia 16 tahun bagi perempuan dan 18 tahun bagi lelaki," katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, katanya, kes jenayah rogol yang dilakukan itu tetap menjadi kesalahan jenayah dan terpulang kepada pihak polis dan mahkamah dalam menentukannya.

Pada sesi perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 di Dewan Rakyat pada Selasa, Shabudin dilaporkan antara lain mencadangkan perkahwinan antara mangsa rogol di bawah umur dengan perogolnya mungkin boleh mengubati masalah sosial.

Cadangannya itu telah disalahertikan oleh sesetengah media dan menjadi tular serta menerima kecaman pelbagai pihak.

Shabudin juga berkata hujahnya itu turut merujuk kepada kes rogol yang diklasifikasikan oleh undang-undang sebagai rogol statutori iaitu atas persetujuan bersama, yang banyak berlaku dalam realiti masyarakat.
"Dalam menyelesaikan perkara tersebut, keluarga cuba menutup malu dan tidak membuat laporan polis serta akhirnya membuat keputusan untuk mengahwinkan mereka. Walaubagaimanapun perkahwinan itu tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya oleh pihak wali tetapi perlu mendapatkan kebenaran mahkamah Syariah terlebih dahulu," katanya.

Beliau turut menegaskan tiada apa-apa peruntukan undang-undang malah hukum syarak, yang menghalang mereka daripada berkahwin.

Dalam pada itu, contoh umur sembilan atau 12 tahun yang turut menerima kecaman itu adalah soal aqil baligh dan ia tidak terhad kepada kedua-dua umur itu sahaja, katanya.

"Tetapi pihak media dalam laporan mereka menyatakan seolah-olah saya mengatakan perempuan yang berumur sembilan tahun boleh berkahwin tanpa mengambil kira soal aqil baligh," katanya.

- BERNAMA

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90