Warung Teh O 20Seng



Warung Teh O 20Seng

Warung 'baik hati', itulah nama yang paling sesuai untuk kedai makan ini yang menjual minuman dan makanan pada harga murah.

Mana tidaknya, teh O panas di Warong Pok Hassan kekal dijual pada harga 20 sen sejak ia dibuka pada 1994, begitu juga kari kepala ikan yang dijual pada harga serendah RM8.

Terletak di Wakaf Tembesu, Gong Badak, Kuala Terengganu, warung yang diwariskan oleh pemiliknya, Allahyarham Mohd Hassan Yunus kepada anak sulungnya Mohd Ridhuan, 36, ini popular dalam kalangan penduduk setempat disebabkan harga jualan yang murah.

"Teh o panas di sini kekal 20 sen secawan sampai bila-bila, itu amanat arwah ayah.

"Sebelum meninggal ayah pernah berniat nak turunkan harga jadi 15 sen tapi tak jadi bila dia fikirkan masalah pengiraan dan baki siling lima sen yang agak sukar diperolehi," katanya kepada mStar Online.

Mohd Ridhuan berkata selepas bapanya meninggal dunia pada 2006 seluruh ahli keluarga sepakat untuk meneruskan operasi warung ini sambil mengamalkan konsep berniaga sambil beramal.

Kini, warung tersebut diusahakan bersama ibunya Semah Jusoh, 60, dibantu lapan pekerja yang terdiri daripada ahli keluarga dan saudara-maranya.

Menurut Mohd Ridhuan, dengan hanya RM1 pelanggan yang datang bersarapan di sini mampu kenyang atau sekurang-kurangnya mengalas perut dengan membeli kuih-muih dan memesan teh o panas.

"Harga kuih-muih di sini 30 hingga 40 sen, selain ada nasi lemak, nasi minyak, mi goreng dan pulut yang tak mahal harganya.

"Untuk tengahari pula, kami jual nasi campur, harga lauk-pauk pun tak mahal, kari kepala ikan tenggiri dan ikan merah berharga serendah RM8," katanya.

Mohd Ridhuan bagaimanapun terpaksa mengakui harga barang mentah kini sudah meningkat tetapi setakat ini tidak pernah terfikir untuk menaikkan harga jualan mengikut harga bahan mentah semasa.

Dia turut menceritakan bagaimana dia terpaksa menghentikan jualan lauk ayam kampung di warung tersebut kerana harganya yang terlalu tinggi.

"Untung tetap ada cuma tak banyak, lepaslah bayar gaji pekerja.

"Kesian juga kepada pelanggan kalau naikkan harga sebab ramai pelanggan tetap selalu datang makan di sini kerana harganya murah...tak apalah buat masa ini harganya kekal berpatutan," katanya.

Anak sulung daripada tujuh adik-beradik ini berkata apa yang penting adalah kepuasan melihat ramai pelanggan datang makan ke warung kecilnya pada waktu pagi dan petang.

"Sepanjang saya berniaga tak ada lagi pelanggan yang komen mahal, rata-rata tersenyum selepas buat bayaran dan ramai juga yang datang semula," katanya.

Seorang pelanggan, Suhana Cik Jusoh, 27, berkata dia terkejut apabila pertama kali membayar lauk-pauk yang dibelinya di Warong Pok Hassan.

"Saya bungkus dua ketul ayam, seketul ikan kerapu masak tiga rasa, dua ketul daging dan dua bungkus nasi, harganya cuma RM18.

"Selain murah, rasanya sedap setanding masakan asli kampung dan saya telah hebahkan tentang keistimewaan warung ini kepada rakan-rakan di Facebook," katanya.

- mSTAR
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url