Top Ad 728x90

, , ,

Isu di sebalik pemindahan 22 pegawai tinggi kerajaan ke INTAN

Keputusan untuk menempatkan 22 orang pegawai tinggi persekutuan daripada pelbagai peringkat ke Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) yang mencetuskan kontroversi rupa-rupanya dibuat oleh bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa sehari sebelum beliau bersara pada 28 Ogos lalu.

Kesemua pegawai tadbiran awam dan diplomatik itu sebelum ini berkhidmat di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan juga di beberapa buah kementerian.

Mereka dipindahkan ke Intan selepas timbulnya isu berkaitan kelewatan urusan pelantikan dan pembayaran gaji kepada kakitangan kontrak dan lantikan politik di pejabat-pejabat menteri serta timbalan menteri kabinet Kerajaan Pakatan Harapan selepas pilihan raya umum ke-14.

Bagaimanapun berdasarkan siasatan mStar Online, adalah didapati proses kelewatan pembayaran gaji dan lantikan ini berlaku atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan yang mana sebahagian besarnya kerana kelewatan pegawai-pegawai menteri dan timbalan menteri itu sendiri memproses dokumen perjanjian pelantikan mereka.

Ekoran daripada kelewatan ini, mStar Online dimaklumkan, pegawai paling kanan yang dihantar berkursus ke Intan ialah Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Mohtar Abdul Rahman dan Setiausaha Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Dato Zainal Abidin Ahmad.

Lain-lain pegawai kanan yang terlibat ialah Pengarah Pembangunan Organisasi JPA, Mohamad Fauzi Isa dan Timbalan Pengarah Kanan JPA, Zohari Said.

Di samping mereka, beberapa orang pegawai daripada Bahagian Pembangunan Organisasi dan tiga timbalan pengarah Bahagian Perkhidmatan JPA turut menerima nasib yang sama, kata sumber itu lagi kepada mStar.

Sementara pegawai-pegawai dari beberapa kementerian yang turut dipindahkan ke Intan melibatkan setiap seorang daripada Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia dan Pengurusan di Kementerian Kewangan, Kementerian Pelajaran, Kementerian Pertahanan, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pertanian.

Dalam perkembangan berkaitan, mStar Online turut dimaklumkan sehingga 24 Ogos lalu, sejumlah 101 lantikan kakitangan pejabat menteri dan timbalan menteri telah berjaya diselesaikan.

Daripada jumlah itu, 84 pegawai telah dilantik dan urusan pembayaran gaji juga telah turut diterima, manakala selebihnya belum melalui proses pembayaran gaji.

Adalah difahamkan, antara sebab mengapa para pegawai menteri dan timbalan menteri ini lewat menerima pembayaran gaji antara lainnya kerana pegawai yang terlibat belum mengemukakan dokumen perjanjian lantikan yang ditandatangani.

Sebab kedua adalah kerana pegawai yang terlibat tidak mahu menandatangani perjanjian lantikan atas sebab tidak menyatakan gaji minimum yang dipohon atau kerana pegawai berkenaan belum mengemukakan maklumat bank atau nombor akaun.

Lain-lain sebab yang lain ialah pegawai menteri atau timbalan menteri berkenaan masih belum mengemukakan dokumen kontrak yang ditandatangani atau kerana pegawai tersebut masih bertugas dengan majikan lama dan harus memberi notis tiga bulan.

Sehingga analisis berita ini ditulis, adalah dianggarkan masih terdapat 60 lantikan di pejabat menteri dan timbalan menteri masih belum diisi atas sebab-sebab tertentu antara lain belum ada calon yang sesuai atau calon memohon tanggagaji yang tidak diperuntukkan di bawah Pekeliling Perkhidmatan Kakitangan Awam Bilangan 6.

"Terdapat pegawai-pegawai menteri yang menuntut gred yang tinggi yang tidak diperuntukan di dalam pekeliling perjawatan pejabat menteri dan timbalan menteri seperti Jawatan Utama Sektor Awam atau JUSA walaupun kerajaan baru bersetuju untuk menambah satu lagi jawatan iaitu Pegawai Tugas-Tugas Khas (PTTK) daripada seorang kepada dua orang dengan gred 54 tertakluk kepada kelayakan individu lantikan politik," kata seorang pegawai kanan ketika dihubungi mStar Online.

Sebelum ini Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar mengesahkan bahawa pegawai berkenaan dikenakan tindakan tersebut ekoran masalah yang timbul berhubung pelantikan pegawai baharu anggota Kabinet.

Sumber : mSTAR

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90