Setiap hari seawal jam 4.30 pagi, Fara Umira Abd Halim, 26, sudah berada di depoh tren monorel KL Sentral bagi memeriksa keadaan tren seterusnya memandu monorel di sepanjang landasan bermula di KL Sentral sehingga ke Titiwangsa bagi memastikan laluan berada dalam keadaan baik. Kemudian dia akan berpatah balik ke KL Sentral bagi memulakan tugasan mengambil penumpang pertama pada jam 6 pagi.
Beginilah rutin harian wanita ini yang bertindak sebagai Kapten Tren Monorel sejak 23 November 2017 lalu. Melihat susuk tubuhnya yang kurus dan tinggi, ramai kurang percaya kebolehannya sebagai pemandu tren. Apatah lagi apabila terpaksa bersaing dengan pemandu lelaki yang lebih menyerlah dan terbukti kemampuan mereka.
Menurut Fara Umira yang mesra disapa Fara, pada mulanya dia tidak pernah terfikir untuk bergelar pemandu tren monorel. Dia yang ketika itu bertugas sebagai juruteknik makmal terbaca iklan di akhbar mengenai peluang kerjaya yang ditawarkan dalam Prasarana.
“Mulanya langsung tidak menyangka ditawarkan kerjaya ini memandangkan susuk tubuh saya sendiri kecil dan kurus. Selepas menjalani temu duga pihak syarikat menyatakan saya ditempatkan sebagai pemandu tren, saya terkejut kerana sebelum ini tidak menyangka ada pemandu wanita untuk monorel.
“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana diberi peluang ini sedangkan ramai yang ingin mencuba,” katanya teruja.
Anak sulung daripada lapan beradik ini berkata, kereta api, sistem transit aliran ringan dan monorel sering menjadi kenderaannya untuk ke mana saja kerana dia sendiri tidak suka kesesakan lalu lintas.
“Sebagai anak yang dibesarkan nenek di Kuala Lumpur sudah tentu saya melihat perkembangan pesat industri rel. Memang saya teruja dan sering bertanya bagaimana ia beroperasi, ada pemandu atau tidak serta sistem apa digunakan setiap kali menaikinya. Sekarang selepas diberikan peluang bekerja dalam bidang ini barulah saya faham perjalanannya tidak semudah yang disangka,” jelasnya.
Namun Fara mengakui dia banyak mencari maklumat di YouTube dan membaca mengenai pemanduan tren. Daripada situ dia rasa tercabar untuk melakukan yang terbaik sama ada ketika latihan dan kala melaksanakan kerjaya sebenar.
Dia yang perlu menjalani latihan selama tiga bulan di bawah Akademi Prasarana menjelaskan, apa yang dipelajari secara teori sebenarnya tidak sama ketika memandu secara manual. Ini kerana monorel menggunakan 100 peratus khidmat pemandu dari segi kawalan.
“Ketika kali pertama, saya bersama penyelia membuat pemanduan dari KL Sentral ke Titiwangsa. Memang ia sangat menyeronokkan namun agak mencabar disebabkan perlu berurusan dengan penumpang dan masa. Namun semuanya dapat diatasi berpandukan operasi standard yang sudah ditetapkan,” katanya yang memiliki Diploma Setiausaha Pejabat daripada Kolej Islam Antarabangsa.
Cabaran untuk kapten
Sama seperti pengangkutan awam yang lain, cabaran terbesar sebagai kapten monorel apabila perlu berhadapan pelbagai ragam penumpang. Ada di antara mereka tidak sabar memasuki gerabak terutama pada waktu puncak dan di stesen popular seperti Bukit Bintang serta KL Sentral. Ada juga berdiri melebihi garisan dihadkan.
“Keadaan ini sudah tentu membahayakan nyawa mereka. Ini kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku, antaranya tertolak atau secara tidak sengaja terjatuh ke landasan. Oleh itu mata saya perlu tajam dan fokus dengan setiap situasi,” katanya.
Selain itu sekiranya berlaku kecemasan, tren terpaksa diberhentikan. Mungkin ada penumpang kurang faham sehingga perlu dijelaskan. Dalam keadaan ini Fara perlu berhubung dengan pusat kawalan bagi menyampaikan maklumat mengenai keadaan yang berlaku. Selain itu juga dalam keadaan cuaca yang panas dan hujan turut memberi cabaran kepadanya.
KESIHATAN adalah sangat penting bagi setiap pemandu. Ini kerana mereka perlu berada dalam keadaan baik sepanjang pemanduan - Fara.
Namun faktor cuaca setakat ini tidak mendatangkan masalah besar yang boleh menyebabkan kelewatan perjalanan.
“Sebab itu pentingnya latihan selama dua bulan bagi membiasakan pemandu berdepan situasi sebenar. Paling penting adalah fokus dan tumpuan ketika memandu. Ia sama seperti memandu di jalan raya, tidak boleh leka agar sebarang rintangan atau masalah dapat diatasi dengan baik,” katanya.
Menurut Fara, sebagai kapten tren monorel segala keputusan dan tindakan yang dilakukan adalah di atas risiko sendiri, apatah lagi dia bertanggungjawab membawa ratusan penumpang setiap hari. Oleh itu kawalan seperti mengemudi, had kelajuan, pengumuman stesen, mengawal sistem pintu dan penumpang turut menjadi tanggungjawab seorang kapten.
“Saya masih baharu di sini dan banyak yang perlu dipelajari. Walaupun setakat ini tidak pernah melalui situasi cemas atau mendebarkan, saya sentiasa berwaspada agar tiada perkara tidak diingini berlaku,” ujarnya.
Dapat sokongan keluarga
Kesungguhan dan minat Fara menceburi bidang dikuasai lelaki itu mendapat sokongan keluarga terutama nenek dan ibu bapanya. Pada mulanya dia merahsiakan daripada keluarga kerana tidak mahu hasratnya dihalang namun selepas enam bulan bekerja barulah dia berani bercerita mengenai kerjayanya.
“Mulanya memang ibu terkejut kerana tidak sangka saya berupaya memandu monorel. Tetapi lama-kelamaan selepas dijelaskan bidang tugas saya barulah mereka memahami dan memberikan sokongan. Begitu juga nenek yang sentiasa menasihati saya agar berhati-hati dan menjaga diri ketika bertugas,” katanya.
Jadual kerja Fara mengikut syif harian. Ia bermula seawal jam 4.30 pagi sehingga 2.30 petang manakala syif petang bermula jam 2.30 petang sehingga 12.30 malam.
Laluan perjalanannya pula dari stesen KL Sentral ke Titiwangsa kemudian akan berpatah semula ke KL Sentral bergantung kepada jadual tugasan yang disediakan.
Jadual waktu juga bergantung kepada kesihatan pemandu, sekiranya kesihatan mereka berada dalam keadaan tidak baik ia akan diganti dengan kapten monorel yang lain.
“Kesihatan adalah sangat penting bagi setiap pemandu. Ini kerana mereka perlu berada dalam keadaan baik sepanjang pemanduan. Tidak boleh tidak, pemandu harus memberitahu seandainya mereka tidak sihat atau perlu diganti dengan pemandu lain,” katanya.
Perancangan masa depan
Menurut Fara, dia merancang memberikan khidmat terbaik sebagai kapten tren monorel untuk jangka masa dua atau tiga tahun sebelum menjadi penyelia. Sebagai pekerja dia melihat kerjaya dalam industri rel semakin berkembang pesat. Jika dulu ia hanya dimonopoli lelaki tetapi kini semakin ramai wanita diberikan peluang menjadi kapten dan pelbagai bidang yang lain.
Selain itu peluang pekerjaan juga sangat terbuka luas, malah tiada diskriminasi jantina sebaliknya kedua-dua saling memerlukan bagi meningkatkan potensi diri.
“Saya akui ketika mula-mula menceburi kerjaya ini, ada juga rasa takut dan kurang yakin. Namun saya dikelilingi rakan setugas yang sangat memahami dan memberikan tunjuk ajar sekiranya ada perkara yang perlu diselesaikan. Walaupun hanya dua pemandu wanita monorel, kami diberikan peluang belajar sama rata selain kenaikan pangkat asalkan bersesuaian dengan pengalaman dan pendidikan seseorang,” katanya.
- Harian Metro