Menteri Besar Johor Osman Sapian Letak Jawatan



Peletakan jawatan Datuk Osman Sapian menghangatkan spekulasi siapa bakal menggantikan beliau sebagai Menteri Besar Johor.

Ahli Dewan Undangan Nege­ri (ADUN) Kempas itu seperti mana diumumkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad di Parlimen hari ini menyerahkan surat peletakan jawatan semalam kepada Perdana Menteri dan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Pengunduran Osman yang menurut Dr. Mahathir tidak memberi sebarang alasan sememangnya sudah diduga apabila beliau tidak menghadiri Pemukiman Pemimpin Malaysia-Si­nga­pura di Putrajaya, hari ini.

Tempat beliau diganti oleh Dr. Sahruddin Jamal yang dikatakan antara calon yang disenaraikan untuk mengambil alih kepe­mimpinan negeri Johor jika Osman meletakkan jawatan.


Kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Negeri itu sekali gus mengesahkan pertemuan antara Osman dengan Dr. Mahathir semalam bukan berkaitan Pemukiman Pemim­pin Malaysia-Singapura sebalik­nya berhubung kedudukan ADUN Kempas itu dalam me­nerajui Johor.

Osman yang bertanding atas tiket Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menjadi Menteri Besar pertama meletakkan jawatan selepas 11 bulan Pakatan Harapan (PH) memerintah negeri itu dan negara.

Selain itu, beliau yang menjadi Menteri Besar Johor Ke-16 selepas namanya dipersembahkan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar oleh Bersatu mencatatkan sejarah sebagai individu yang meme­gang jawatan berkenaan paling singkat di negeri tersebut iaitu tidak sampai setahun.

Dalam sejarah kepemimpinan negeri Johor, sebelum ini individu yang memegang jawatan menteri besar paling singkat ialah Datuk Mohamed Datuk Mahbob bagi tempoh Julai 1922 hingga September 1923.

Bagaimanapun peletakan jawatan Osman bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana menurut sumber, Sultan Johor beberapa bulan lalu dikatakan sudah menitahkan penggantian menteri besar dilakukan.

“Keadaan itu disebabkan kakitangan kerajaan negeri dan rakyat sudah tidak tahan lagi dengan ketidakcekapan Osman dalam mentadbir Johor,” kata sumber berkenaan.

Titah Sultan Johor untuk me­nukar Osman disahkan oleh Tengku Mahkota Johor dalam ciapan dalam laman Twitter hari ini.

Dalam ciapan itu baginda bertitah:

“Titah untuk tukar Menteri Besar dah lama tetapi orang lain pula nak ambil kredit dan mi­leage (ke­lebihan) kononnya dia arahkan.

“Ke Bawah Duli Tuanku sudah meneliti untuk tukar menteri besar sejak berbulan lalu. Ja­ngan lupa, kuasa memilih menteri besar adalah hak mutlak Sultan. Cukup cukuplah politiking.’’

Penggantian Osman juga se­kali gus akan membuktikan be­liau bukanlah pilihan is­ta­na se­perti mana digembar-gem­bur­kan oleh banyak pihak.

“Kalau pilihan Istana sudah tentu beliau akan dikekalkan dalam apa keadaan sekali pun, senario politik di beberapa nege­ri sebelum ini sudah membuktikan perkara itu, tetapi apabila Tuanku Sultan sendiri mahu menteri besar ditukar di­sebabkan prestasi, maknanya Osman bukan individu kesaya­ngan istana seperti dituduh banyak pihak, lagipun sebelum ini bukan Istana yang mencadangkan nama Osman untuk menduduki jawatan tersebut tetapi Bersatu,’’ kata sumber berkenaan.

Sumber itu berkata, tuduhan mengatakan Sultan Johor memilih nama menteri besar secara bersendirian adalah tidak benar kerana nama Osman dicadangkan oleh Bersatu selepas tiada lagi calon yang lebih layak.

“Ia memandangkan selain Presiden Bersatu, Tan Sri Muh­yiddin Yassin akan memegang jawatan di peringkat Pusat, Osman adalah orang nombor dua dalam kepemimpinan parti ber­kenaan di Johor. Selepas mendapat nama itu barulah Tuan­ku Sultan melantik Osman,’’ kata sumber berkenaan.

Mengenai pengganti Osman, sumber itu berkata, selain Dr. Sahruddin yang merupakan ADUN Bukit Kepong daripada Bersatu, turut disebut-sebut ialah seorang lagi pemimpin Bersatu Johor iaitu ADUN Pu­teri Wangsa, Mazlan Bujang yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan Negeri.

“Selain beliau, Pengerusi Belia, Sukan dan Kebudayaan Negeri, Khuzzan Abu Bakar (ADUN Seme­rah-PKR) dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam dan Pendidikan Negeri, Aminolhuda Hassan (ADUN Parit Yaani-Ama­nah) turut berada senarai calon.

“Tuanku Sultan hanya ber­kenan dicadangkan empat nama ini daripada kepemimpinan Pakatan Harapan. Ia memandangkan pengalaman mereka selama hampir setahun sebagai exco boleh membantu melicinkan pentadbiran kerajaan negeri,’’ katanya.

Sumber itu turut menegaskan, jika selain daripada nama itu dicadangkan Tuanku Sultan berhak menolak dan tidak mustahil DUN boleh dibubarkan untuk memberi laluan kepada pilihan raya negeri.

“Perlu diingat dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Johor, Sultan Johor sebagai Raja Peme­rintah mempunyai kuasa mutlak untuk memilih atau melantik sesiapa sebagai menteri besar ne­geri itu,’’ kata sumber itu lagi.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url