Waspada terhadap sindiket penipuan LHDNM
LHDN berkata, sindiket menggunakan resit rasmi pembayaran cukai pendapatan LHDNM yang dipalsukan dengan menggunakan aplikasi WhatsApp mengugut dan mengarahkan orang ramai untuk memindahkan sejumlah wang ke akaun bukan milik agensi tersebut serta dikenakan tindakan mahkamah sekiranya tidak mematuhi arahan.
“Sindiket juga menggunakan panggilan telefon menyamar sebagai pegawai LHDN dengan menyatakan mangsa mempunyai kes jenayah dan kemudiannya panggilan tersebut disambungkan dengan talian palsu Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memperdaya mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, LHDN menjelaskan, pihaknya tidak menggunakan sebarang aplikasi WhatsApp sebagai medium komunikasi rasmi dengan pembayaran cukai dan juga panggilan telefon menggunakan nama agensi awam tersebut.
Katanya, sebarang urusan berkaitan pematuhan cukai hanya dilakukan menerusi kaedah panggilan telefon, surat rasmi dan e-mel rasmi daripada Hasil ‘Care Line’ di talian 1-800-88-5436, Jabatan dan Cawangan LHDN.
Dalam pada itu, LHDN menasihati orang ramai terutama pembayar cukai yang telah terpedaya dengan teknik sindiket ini segera membuat laporan polis. - UTUSAN