Tempahan Axia 2019 dibuka
Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) terus agresif menawarkan model-model baharu bersifat mampu milik bagi memenuhi keperluan rakyat Malaysia memiliki kenderaan sendiri dan terbaharu, syarikat kereta nasional itu telah mula membuka tempahan untuk model Axia 2019.
Axia 2019 merupakan kenderaan hatchback segmen-A yang telah diperbaharui dan didatangkan dalam enam varian iaitu E, G, GXtra, SE, dan AV selain varian baharu iaitu STYLE.
Dikuasakan dengan enjin 1 liter 1KR-VE yang dipadankan dengan transmisi manual lima kelajuan atau transmisi automatik empat kelajuan, model tersebut ditawarkan pada harga tentatif antara RM24,090 hingga RM43,190 (atas jalan tanpa insurans bagi Semenanjung Malaysia).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, sejak mula-mula dilancarkan pada 2014, Axia sentiasa mendapat sambutan baik pengguna dan kini lebih 380,000 unit Axia telah pun diserahkan kepada pemiliknya.
“Axia adalah inti pati kepada matlamat Perodua, iaitu untuk menawarkan mobiliti mampu milik dan mudah buat semua.
“Ia merupakan model terlaris kami dari 2015 hingga 2017.
“Kini dengan peningkatan dalam aspek keselamatan dan ciri-ciri tambahan, Axia menawarkan lebih banyak nilai berbanding sebelumnya,” katanya dalam siaran akhbar yang dikeluarkan di sini semalam.
Axia menjadi kenderaan cekap tenaga (EEV) pertama di Malaysia semasa pelancarannya pada 2014.
Axia 2019 kekal menjadi antara kenderaan paling cekap bahan api di negara ini iaitu pada kadar 22.5 kilometer per liter (km/l) untuk transmisi manual, 21.6km/l untuk transmisi automatik dan 20.8km/l untuk varian STYLE.
Ia disertakan dengan pelbagai ciri keselamatan termasuk Bantuan Pemanduan Selamat (ASA 2.0) yang mula-mula diperkenalkan pada model Aruz pada Januari lalu, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), kawalan cengkaman dan sistem brek antikunci (ABS), bergantung kepada varian.
Kesemua model Axia 2019 didatangkan dengan waranti lima tahun atau 150,000km perjalanan (yang mana terdahulu).
Orang ramai yang berminat boleh mengunjungi mana-mana cawangan jualan Perodua di seluruh negara.