Top Ad 728x90

,

Hotel TH cuma pindah milik, kakitangan kekal

tutup hotel tabung haji



Lembaga Tabung Haji (TH) tidak menutup empat hotel miliknya dan tidak melaksanakan pemberhentian pekerja, sebaliknya rangkaian hotel itu akan beroperasi di bawah pengurusan Urusharta Jemaah Sdn Bhd (UJ), iaitu syarikat milik penuh Kementerian Kewangan.

TH dan Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJ) dalam satu kenyataan bersama memaklumkan, operasi di hotel yang sudah dipindah milik daripada TH kepada UJ iaitu TH Hotel Kota Kinabalu; TH Hotel Bayan Lepas; TH Hotel & Convention Centre Alor Setar; dan TH Hotel & Convention Centre Kuala Terengganu akan diteruskan di bawah anak syarikat milikan penuh UJ, UJ Property Management Sdn Bhd (UJPM).

“UJPM akan mengambil alih operasi keempat-empat hotel berkenaan yang sebelum ini di bawah seliaan TH Hotel and Residence Sdn Bhd (THHR) bermula 1 April 2020.

“Semua hotel ini adalah sebahagian daripada pemindahan aset yang terdiri daripada 29 aset hartanah, satu (1) syarikat tidak tersenarai dan pegangan ekuiti yang mempunyai nilai semasa sebanyak RM9.63 bilion pada hari pemindahan. UJ sudah menerbitkan sukuk sejumlah RM19.6 bilion dan membayar RM300 juta tunai bagi melengkapkan transaksi ini,” demikian mengikut kenyataan yang disiarkan menerusi laman web rasmi TH.

Penubuhan UJPM, katanya, adalah salah satu langkah untuk memastikan kesinambungan pekerjaan serta operasi hotel memandangkan aset-aset hotel di bawah milikan TH sudah berpindah milik kepada UJ pada Disember 2018 tanpa berlakunya perpindahan pengurusan dan kakitangan hotel.

“Operasi hotel di bawah pengurusan baharu ini akan beroperasi seperti sedia kala dan kekal sebagai hotel patuh syariah dengan nama baharu iaitu Raia Hotel mulai 1 April 2020.

“UJ juga sudah menyediakan dana bagi menambahbaik kemudahan dan fasiliti hotel untuk memberi manfaat kepada pengunjung.

“UJ juga ingin meyakinkan orang ramai bahawa hotel-hotel ini boleh digunakan seperti mana yang telah dipraktikkan dulu semasa musim operasi haji,” katanya.

TH dan UJ menegaskan, tiada kakitangan THHR akan diberhentikan.

“Seramai 90 peratus daripada kakitangan THHR akan terus bekerja di rangkaian Raia Hotel, manakala 10 peratus kakitangan hotel akan diserap oleh THHR Kelana Jaya.

“Selain itu, 90 peratus kakitangan yang terbabit juga akan menerima sagu hati berdasarkan sumbangan yang telah diberikan sepanjang tempoh perkhidmatan di THHR. TH akan sentiasa menjaga kebajikan kakitangan yang terbabit demi kelangsungan karier mereka di masa hadapan,” katanya.

TH dan UJ menjelaskan, pengambilalihan operasi dan perkhidmatan rangkaian hotel UJPM adalah sebahagian daripada Pelan Pemulihan Semula dan Penstrukturan TH.

Langkah pengambilalihan operasi hotel-hotel ini daripada THHR adalah langkah yang perlu diambil oleh UJ bagi memenuhi mandat yang diberikan kerajaan bagi mengurangkan komitmennya.

“UJ memainkan peranan penting untuk memastikan objektif ini tercapai dan akan sentiasa giat berusaha untuk mengembangkan nilai aset-aset di bawah portfolio UJ.

“TH dan UJ berharap rakyat Malaysia akan memberikan sokongan sepenuhnya kepada pihak pengurusan baharu yang akan menjadi operator di empat hotel berkenaan,” katanya.

Ini kerana, dari segi asasnya, pihak UJ, akan meningkatkan imej hotel berkenaan dari segi penjenamaan semula, menaik-taraf fasiliti dan mengoptimumkan tahap kecekapan, kata kenyataan itu.

UJPM akan diterajui Muhammad Solleh Ramli, yang mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan perhotelan.

Beliau pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah Proasset Management Sdn Bhd yang menjadi syarikat pengurusan Hotel MS Garden Kuantan, Pahang dan pernah berkhidmat sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Hotel Seri Malaysia.

TH dan UJ berkata, Muhammad Solleh sudah memainkan peranan penting yang mana beliau berjaya meningkatkan prestasi kewangan dan imej syarikat berkenaan.

- B.Harian

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90