M40 boleh mohon mySalam sebelum 31 Mac 2020



Golongan isi rumah berpendapatan kurang RM100,000 (M40) berumur antara 18 hingga 65 tahun kini boleh mendaftar skim Perlindungan Kesihatan Masyarakat (mySalam) bermula hari ini hingga 31 Mac depan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata kerajaan memperluaskan Skim mySalam kepada golongan M40 selepas kira-kira 4.3 juta rakyat daripada golongan B40 mendapat manfaatnya.

Selepas tarikh itu semua penerima yang layak akan dimaklumkan dan boleh mula mengemukakan tuntutan masing-masing.

"Perlindungan takaful Skim mySalam meliputi 45 jenis penyakit kritikal dan kemasukan hospital hingga 14 hari setahun termasuk pesakit novel coronavirus yang akan menerima manfaat hospital RM50 sehari bagi tempoh 14 hari," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Pelancaran Perluasan Skim Perlindungan Masyarakat mySalam di Kementerian Kewangan, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan timbalannya Dr Lee Boon Chee dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah.

Pada pembentangan Belanjawan 2020 bermula 1 Januari 2020, kerajaan memutuskan bagi memperluas skim mySalam menerusi peningkatan had umur daripada 55 kepada 65 tahun untuk penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) serta pasangan mereka.

Penerima BSH individu bujang dan individu orang kurang upaya (OKU) juga layak menerima perlindungan terhadap 45 penyakit kritikal termasuk polio daripada 36 sebelumnya.

Guan Eng berkata, tuntutan penyakit kritikal bagi penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) adalah sebanyak RM8,000 dan akan diberikan secara sekali beri manakala bagi golongan M40 atau bukan penerima BSH, mereka akan menerima faedah penyakit kritikal sebanyak RM4,000 (sekali beri).

Skim mySalam akan memberi manfaat kepada lapan juta orang pada tahun ini.

Skim Perlindungan Nasional B40 mySalam diperkenalkan sebagai inisiatif kerajaan bantu golongan B40 dengan memberi perlindungan perubatan dalam bentuk bantuan kewangan apabila berlaku kecemasan atau masalah kesihatan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata di bawah skim itu, penerima layak mendapat perlindungan kesihatan secara percuma untuk 36 jenis penyakit kritikal merangkumi kanser, serangan jantung dan alzheimer.

"Penerima skim mySalam akan mendapat bayaran 'one-off' (sekali gus) sebanyak RM8,000 jika dikenal pasti menghidap penyakit kritikal.

"Skim mySalam juga memberi bayaran harian RM50 sebagai pendapatan gantian jika penerima menjalani rawatan di mana-mana hospital kerajaan untuk tempoh maksimum 14 hari setiap tahun atau bersamaan dengan RM700 setahun.

"Saiz dana permulaan skim mySalam sebanyak RM2 bilion dijangka dapat menawarkan perlindungan perubatan sekurang-kurangnya untuk tempoh lima tahun bagi golongan sasar."


- B.Harian
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url