Top Ad 728x90

,

Kadar pengangguran dijangka turun kepada 4.5 peratus

kadar pengangguran

 

Kadar pengangguran di negara ini dijangka terus menurun kepada tahap 4.5 peratus pada penghujung tahun ini, menurut United Overseas Bank (Malaysia) Bhd. (UOB Malaysia).

Kadar pengangguran terbaharu direkodkan pada 4.7 peratus pada bulan Julai, selepas mencapai kemuncak 5.3 peratus pada Mei dan turun kepada 4.9 peratus pada Jun.

Ahli Ekonomi Kanan UOB Malaysia, Julia Goh berkata, kadar pengangguran dijangka terus mereda kepada 3.7 peratus pada 2021.

Jelasnya, ia masih lebih tinggi berbanding tahap sebelum berlakunya pandemik Covid-19 disebabkan kebanyakan syarikat masih perlu menyesuaikan diri dengan keadaan pasca pandemik.

“Pasaran tenaga buruh terus merekodkan pemulihan de­ngan bilangan pekerjaan telah meningkat lebih daripada paras 15 juta pekerjaan buat pertama kali dalam tempoh empat bulan pada 15.07 juta pekerjaan Julai lalu.

“Kebanyakan sektor ekonomi merekodkan peningkatan pengambilan pekerja pada Julai, didahului sektor per­khidmatan terutamanya penginapan, makanan dan minuman serta aktiviti pengangkutan dan penyimpanan.

“Peningkatan pengambilan pekerja dalam sektor pembuatan pula diterajui industri elektrik dan elektronik, berkaitan logam, percetakan, automotif dan produk berkaitan getah,” katanya dalam nota penyelidikan yang dikeluarkan semalam.

Selain itu, Goh menerangkan, pemulihan pasaran buruh bakal berdepan cabaran daripada penamatan Program Subsidi Upah dan moratorium automatik pada 30 September ini.

“Sejak dimulakan pada 1 April, PSU telah membantu 2.7 juta pekerja menerusi peruntukan yang diluluskan berjumlah RM13.8 bilion kepada 330,682 majikan.

“Selepas ini, bantuan upah serta pembayaran pembiayaan hanya diberikan kepada golo­ngan yang masih terjejas akibat pandemik Covid-19 dan langkah ini akan membantu mengelakkan satu lagi gelombang penutupan dan pemberhentian perniagaan,” katanya.

Sumber : Kosmo!

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90