Pertandingan pelbagai penjuru di PRN Sabah
Tradisi persaingan pelbagai penjuru dengan tiada kawasan mencatat pertandingan satu lawan satu, menjanjikan dua minggu yang sibuk dengan pengisian kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Bayangkan, sebanyak 447 kertas pencalonan diterima oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan, dengan hanya satu ditolak atas sebab calonnya diisytihar muflis.
Ini bermakna, seramai 446 calon berentap merebut 73 kerusi dengan DUN Bengkoka menjadi kawasan paling popular apabila merekodkan pertarungan 11 calon.
DUN Bengkoka adalah satu daripada 13 kerusi baharu yang diperkenalkan menerusi persempadanan semula yang diluluskan Dewan Rakyat, tahun lalu.
Secara keseluruhan, sebanyak 16 parti dengan 56 calon Bebas disahkan bertanding.
PRN kali ini turut menyaksikan satu kawasan dengan pertandingan 10 penjuru, diikuti sembilan penjuru (tiga), lapan penjuru (enam), tujuh penjuru (13), enam penjuru (26), lima penjuru (15), empat penjuru (lima) dan tiga penjuru (tiga).
Berbeza dengan saingan satu lawan satu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, kali ini berdepan empat pesaing termasuk anak saudaranya bagi mempertahankan kerusi DUN Senallang.
Pada PRU-14, beliau yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) menewaskan calon BN yang juga sepupunya, Datuk Nasir Sakaran.
Kali ini, Mohd Shafie berdepan saingan calon PN yang juga anak buahnya, Norazman Utoh Nain; Datu Pg Ahmad Datu Ali Alam daripada Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS), Mohammad Ramzan Abdul Wahab mewakili Parti Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) dan Madjalis Lais daripada Parti Cinta Sabah (PCS).
Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, sah tidak mempertahankan kerusi DUN Sungai Sibuga yang disandang sejak 1994 dan menitip pesanan supaya rakyat negeri itu menjaga diri.
"Jaga diri semua, semoga sentiasa dalam keadaan selamat," kata Musa menerusi Twitter.
Disifatkan sebagai pencetus tindakan Mohd Shafie mengumumkan pembubaran DUN Sabah pada 30 Julai lalu, kelibat Musa tidak kelihatan di mana-mana pusat penamaan calon yang dibuka mulai jam 9 pagi.
Seramai 1.1 juta layak mengundi dalam PRN Sabah ke-16, dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan 75 peratus keluar mengundi berbanding hanya 69 peratus sebelum ini.
Selain Shafie yang berhadapan saingan lima penjuru, Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Seri Anifah Aman berdepan pertandingan empat penjuru bagi merebut kerusi DUN Bongawan.
Bekas menteri luar itu dicabar penyandang kerusi DUN Bongawan, Dr Daud Yusof dari Parti Warisan Sabah (WARISAN) selain Ag Syairin dari Barisan Nasional (BN) dan Mohd Azree Abd Ghani dari Parti Liberal Demokratik (LDP). DUN itu mempunyai 16,735 pengundi.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, Daud memperoleh 6,912 undi menewaskan calon BN Datuk Mohamad Alamin (6,117 undi) dan calon Parti Harapan Rakyat Sabah, Jaafar Ismail (627 undi).
Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor pula berhadapan saingan tiga penjuru untuk mempertahankan kerusi DUN Sulaman.
Hajiji, 65, yang mewakili Perikatan Nasional (PN), adalah penyandang kerusi DUN Sulaman sejak tahun 1990, akan dicabar calon WARISAN Plus Datuk Aliasgar @ Ali Ashgar Basri dan calon Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Rekan Hussien, 64.
Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew pula berdepan saingan sembilan penjuru untuk mempertahan kerusi DUN Api-Api. Liew, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, akan ditentang lapan pencabar iaitu Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Chin Su Phin, Timbalan Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) Datuk Pang Yuk Min dan Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Dr Yee Moh Chai.
Turut mencabar Liew ialah calon Parti Gagasan Rakyat Sabah Chong Tze Kuin, Lo Yau Foh (Parti Perpaduan Rakyat Sabah) dan tiga calon bebas iaitu Sim Sie Hong, Ng Chun Sua dan Marcel Jude.
Sumber : Berita