PM umum strategi bersepadu pemulihan negara pasca Covid-19

 

Kerajaan menggariskan lima keutamaan dalam strategi bersepadu pemulihan negara pasca Covid-19 bagi 2021.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keutamaan pertama adalah mempertingkatkan tahap kesihatan awam melalui perolehan bekalan vaksin Covid-19 dan melancarkan program vaksinasi di seluruh negara.

Menurutnya, kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) serta Wisma Putra mewujudkan satu portfolio bekalan vaksin dan menandatangani beberapa perjanjian bagi memperoleh bekalan secepat mungkin daripada syarikat dan pengeluar vaksin.

"Kerajaan akan memastikan bekalan vaksin berkesan, selamat dan mencukupi untuk sekurang-kurangnya 80 peratus rakyat di negara ini. Vaksin akan diberi secara percuma kepada rakyat.

"Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan ini akan dilaksanakan oleh KKM melalui tiga fasa bermula seawal Februari 2021. Saya bersama petugas barisan hadapan akan menjadi antara terawal menerima suntikan bagi membuktikan vaksin ini selamat dan berkesan.

"Kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas dan pesakit menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) juga akan diberi keutamaan dalam menerima suntikan vaksin. Pemantauan keberkesanan dan keselamatan akan diteruskan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Perutusan Khas Sempena Tahun Baharu 2021 yang disiarkan secara langsung di televisyen dan media sosial, hari ini.

Muhyiddin berkata, keutamaan kedua adalah memperkukuh ekonomi prihatin rakyat dan memacu pertumbuhan ekonomi negara pasca Covid-19 melalui pelaksanaan Belanjawan 2021 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

"Kerajaan akan terus membangunkan jaringan keselamatan sosial seperti Bantuan Prihatin Rakyat, skim perlindungan insurans khusus untuk B40 dan memperkukuh sistem kebajikan negara untuk memastikan nasib golongan rentan, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) terbela.

"Bergantung kepada situasi ekonomi semasa kerajaan sedia mempertimbangkan suntikan fiskal strategik jika keadaan memerlukan, seperti mana pakej rangsangan ekonomi sebelum ini.

"Kerajaan akan membantu sedaya upaya untuk meringankan beban rakyat, membasmi kemiskinan dan meningkatkan kesejahteraan mereka.

"Apabila ekonomi rakyat kukuh, tentulah lebih mudah untuk kita memacu pertumbuhan ekonomi negara pasca Covid-19," katanya.

Selain itu, katanya, keutamaan ketiga adalah memastikan kestabilan politik dan kerajaan termasuk tadbir urus yang baik sebagai asas kepada pemulihan ekonomi yang mampan.

Bagi keutamaan keempat pula, kerajaan menjamin kedaulatan negara dan kedudukan Malaysia di persada antarabangsa diperhebat manakala keutamaan kelima, memperkukuh hubungan antara kaum serta agama dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu menentang sebarang ancaman.

"Saya yakin dan percaya, perpaduan adalah kunci kejayaan Malaysia. Lihatlah, berkat perpaduan dan kesatuan hati kita semua, satu persatu cabaran dan dugaan pandemik Covid-19 dapat kita atasi.

"Insafi dan hayatilah hakikat ini. Pupuk dan semai semangat bersatu-padu, saling memahami antara satu sama lain. Benar, ini tidak mudah, apatah lagi dengan cabaran teknologi yang semakin canggih dan ledakan informasi antara benar, separa benar dan palsu yang berlegar di ruangan maya," katanya.

Beliau menegaskan kerajaan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap individu ingkar dan menyemai api kebencian antara kaum, agama serta menghina institusi Raja Berperlembagaan di negara ini.

Sumber : Harian Metro

 

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url