Misteri wanita berkebaya di tepi lebuh raya
Sekitar awal Februari hingga April 2009, kejadian kemalangan di sepanjang laluan Lebuh Raya Utara-Selatan antara Sungai Petani ke Gurun, Kedah kerap dikaitkan dengan gangguan wanita yang memakai kebaya merah.
Kelibat wanita cantik, muda, ramping serta berambut panjang itu dikatakan tiba-tiba muncul di tepi lebuh raya sebelum melintas di hadapan kenderaan.
Pemandu yang terkejut dan ketakutan dikatakan menjadi punca kenderaan dipandu hilang kawalan sehingga terlibat kemalangan.
Difahamkan, kemalangan yang didakwa berlaku selepas melihat sosok tubuh wanita kebaya merah itu tidak pernah mengakibatkan kematian.
Pada 5 Februari 2009, seorang lelaki mendakwa melihat satu ‘lembaga’ menyerupai wanita berkebaya merah berdiri bersebelahan isterinya semasa mereka berhenti rehat di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) di Gurun.
Lelaki itu mendakwa, wanita misteri itu turut dirakam dalam gambar yang diambilnya pada pukul 5.30 pagi, sedangkan ketika itu tiada sesiapa di kawasan berkenaan.
Lebih mengejutkan katanya, selepas melihat semula rakaman itu, didapati tiada wanita cantik berkebaya merah yang dirakam, sebaliknya wajah lembaga itu bertukar mengerikan dengan muka seperti beruk, pipi lebar dan mulut muncung panjang.
Selepas kejadian itu, kisah misteri hantu wanita berkebaya merah itu sudah tidak lagi kedengaran.
Bagaimanapun, dua pengguna laluan itu mendakwa mengalami kejadian pelik di lokasi tersebut, baru-baru ini.
Kejadian pertama dialami seorang jurukimpal dari Taman Ria Jaya, Gurun lebih sebulan lalu semasa dia dalam perjalanan pulang menjenguk ibunya di Perlis.
Menurut Sitanor Salim, 53, sebaik melepasi plaza tol kira-kira pukul 6 petang, dia yang memandu berseorangan berasa seram sejuk sebelum tangan dan dahinya berpeluh secara tiba-tiba.
“Ketika itu hujan renyai dan cuaca sejuk tetapi sebaliknya suasana di dalam kereta saya terasa begitu panas sekali walaupun sistem pendingin hawa kereta berfungsi dengan baik.
“Semasa melalui kawasan sebuah kolej, saya terpandang dari jauh seorang wanita memakai pakaian berwarna merah berdiri berseorangan di bahu jalan,” katanya.
Menurut Sitanor, dia memperlahankan keretanya dengan niat untuk membantu tetapi sebaik menghampiri kawasan berkenaan kelibat wanita muda itu tiba-tiba hilang daripada pandangannya.
“Pada waktu itus seluruh badan saya mula berpeluh dan terasa kereta Proton Perdana yang dipandu menjadi berat dan bergerak perlahan.
“Saya kemudian membaca ayat Kursi berulang kali dan sejurus selepas itu kereta kembali lancar, manakala peluh di badan kering serta-merta.
“Sambil memandu saya menjeling melalui cermin pandang belakang tetapi kelibat wanita itu tidak lagi kelihatan dan apa yang bermain di fikiran ketika itu adalah mungkin ia usikan wanita berkebaya merah,” katanya.
Sementara itu seorang pengguna lebuh raya, Zulkifli Yaakob, 45, pula mengalami gangguan aneh kira-kira sebulan lalu sekitar pukul 1.50 pagi ketika dalam perjalanan pulang ke Sungai Petani dari rumah bapanya di Pendang.
“Ketika melalui kawasan berdekatan R&R Gurun, saya terkejut selepas melihat seorang wanita berselimut kain putih sedang melintas jalan kira-kira 50 meter di hadapan.
“Bagi melihat lebih jelas saya menggunakan lampu tinggi tetapi lebih mengejutkan sebaik dilimpahi cahaya lampu kereta, selimut yang membaluti tubuh wanita itu bertukar kepada warna merah.
“Dalam keadaan tergamam dengan kejadian itu, saya mula membaca beberapa ayat al-Quran yang pendek dan objek itu kemudian hilang secara perlahan-lahan daripada pandangan.
“Ini merupakan pengalaman aneh kali pertama yang ditempuhi dan pada saya, itu mungkin usikan hantu wanita berkebaya merah seperti yang pernah didengari 11 tahun lalu itu,” katanya.
Sumber : Kosmo!