Kumpulan pertama vaksin COVID-19 tiba di Malaysia

 


Pesawat Malaysia Airlines MH604 dihiasi Jalur Gemilang yang membawa kumpulan pertama bekalan vaksin COVID-19 Malaysia selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 10 pagi tadi.

Vaksin Pfizer-BioNTech itu diterbangkan menggunakan pesawat Airbus 330-300 dikendalikan MABkargo Sdn Bhd (MASKargo) dari kilang Pfizer di Belgium, dengan penerbangan membawa vaksin itu berlepas dari Puurs dan transit di Lapangan Terbang Leipzig Halle, Jerman.

Ketibaan pesawat yang membawa 312,390 dos vaksin dengan penerbangan Passenger-to-Cargo (P2C) itu disambut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Sejumlah 312,390 dos vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech yang tiba di Malaysia pagi tadi akan di hantar ke 16 pusat simpanan vaksin di seluruh negara.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata sejumlah vaksin juga dijangka tiba di Johor dari Singapura pada jam 2 petang ini menggunakan jalan darat.

"Sementara di Pulau Pinang dihantar melalui pesawat dan tiba pada jam 6 petang. Bagi Sabah dan Sarawak kita akan tentukan tarikh penghantarannya dalam masa terdekat," katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Khairy berkata, sehingga kini, sebanyak 54 lokasi dijadikan pusat simpanan vaksin Kementerian Kesihatan (KKM) termasuk empat di Johor, Selangor (enam), masing-masing dua di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur serta satu di Putrajaya.

"Jumlah keseluruhan 54 lokasi itu termasuk juga di Sabah dan Sarawak. Pusat simpanan ini akan mengagihkan (vaksin) ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV)," katanya.

Vaksin Pfizer-BioNTech diturunkan dari pesawat, kemudian dibawa ke pusat penyimpanan sementara bagi tujuan diedar ke fasiliti kesihatan milik KKM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara.

Perjalanan vaksin bermula dari kilang Pfizer di Belgium semalam, diuruskan sendiri oleh Pfizer dan DHL Express melalui perjanjian di peringkat global.

Vaksin itu kemudian berlepas dari Puurs, Belgium dan transit di Leipzig Halle Airport, sebelum meneruskan perjalanan ke Singapura untuk pengedaran ke negara-negara Asia Pasifik lain, termasuk Malaysia.

Sumber : Berita Harian

 

 

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url