Pendaftaran sebagai penerima vaksin mulai Mac 2021
Proses pendaftaran sebagai penerima vaksin Covid-19 bagi orang ramai dijangka dibuka bermula Mac ini dan dilaksanakan dengan konsep sukarela.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, orang ramai boleh berbuat demikian menerusi lima kaedah termasuk menggunakan aplikasi MySejahtera.
“Sekiranya tiada MySejahtera, orang ramai boleh mengakses laman sesawang JKJAV (Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid19) yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri pada minggu depan.
“Selain itu, orang ramai juga boleh berbuat demikian menerust talian hotline (nombor ditetapkan kemudian) dan pendaftaran secara manual di klinik dan hospital awam serta swasta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Ruang Bicara terbitan Bernama TV yang disiarkan malam semalam bertajuk ‘Vaksin: Kendurkan Ketegangan dan Kerisauan terhadap Covid-19.’
Mengulas lanjut, beliau berkata, kaedah kelima ialah melalui kerjasama dengan kerajaan negeri untuk mendaftarkan penerima termasuk warga emas sekiranya mereka berada di kawasan pedalaman.
Sementara itu, Khairy Jamaluddin yang Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mengulangi kenyataan sebelum ini bahawa program vaksinasi akan dimulakan dengan petugas barisan hadapan.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan melibatkan tiga fasa dengan fasa pertama membabitkan sejumlah 500,000 petugas barisan hadapan mulai bulan ini hingga April depan.
Menurutnya, fasa kedua melibatkan 9.4 juta orang terdiri daripada kumpulan berisiko tinggi yang akan berlangsung mulai April hingga Ogos depan.
“Baki penerima vaksin dalam fasa ketiga merupakan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas yang akan bermula dari bulan Mei depan hingga Februari 2022,” katanya.
Sumber : Kosmo!