Saluran khusus TV Pendidikan melalui DidikTV KPM mulai 17 Februari 2021

 

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memperkenalkan saluran khusus TV Pendidikan yang dikenali sebagai DidikTV KPM mulai 17 Februari 2021 ini.

Majlis pelancaran saluran berkenaan yang bersiaran dari jam 7 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari, akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada jam 8 pagi hari pertama siaran.

KPM dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan inisiatif mewujudkan saluran khusus itu adalah usaha berterusan kementerian dalam meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti untuk semua murid di seluruh negara.

"Sebelum ini, KPM telah menyediakan program TV Pendidikan selama 11 jam melalui TV Okey RTM, Tutor TV ASTRO dan DidikTV@ntv7. 

"Kini, buat pertama kalinya, KPM memperkenalkan saluran khusus TV Pendidikan secara terestrial dengan pengisian dari jam 7 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari," menurut kenyataan berkenaan.

DidikTV KPM boleh ditonton menerusi saluran 107 di MYTV, saluran 147 di ASTRO dan saluran ntv7 di TV UNIFI. 

Bagi set TV Digital Bersepadu (iDTV) yang menggunakan antena, carian saluran DidikTV KPM boleh dilakukan menerusi penalaan automatik.

"DidikTV KPM akan menyiarkan program yang diterbitkan khusus dengan berteraskan kurikulum dan kokurikulum KPM.

"Saluran ini juga akan menyiarkan berita mengenai dunia pendidikan, program bercorak didik hibur (edutainment) serta kandungan yang dihasilkan oleh murid. Selain itu, program antarabangsa yang bersesuaian akan turut disiarkan," kata KPM.

Menurut kenyataan itu, saluran DidikTV KPM juga satu platform untuk memperkasakan budaya ilmu, menerapkan nilai-nilai murni dan mewujudkan masyarakat berinformasi.

"KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik," kata kementerian itu lagi.

 Sumber : Berita Harian

 

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url