TH perkenal kemudahan JomPay
Lembaga Tabung Haji (TH) memperkenalkan kemudahan pemindahan dana dalam talian, JomPAY sebagai sebahagian daripada usaha ke arah digitalisasi.
Dengan pengenalan tersebut, TH menyediakan lebih banyak ‘touchpoints’ untuk kemudahan para pendepositnya.
Dalam satu kenyataan media, Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mustakim Mohamad berkata melalui JomPay, para pendeposit boleh membuat urusan pemindahan dana secara dalam talian ke dalam akaun simpanan TH pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.
“Sebanyak 28 buah bank di Malaysia menyediakan kemudahan ini menerusi platform perbankan internet masing-masing. TH sentiasa berusaha untuk menambah baik perkhidmatan digital kepada para pendepositnya.
“Dengan pengenalan kemudahan JomPAY, urusan para pendeposit dapat dijalankan dengan lebih mudah. Para pendeposit dapat memindahkan dana daripada akaun simpanan atau semasa bank mereka ke akaun simpanan TH melalui platform perbankan internet yang sedia ada,” katanya.
Untuk makluman orang ramai, JomPay Biller Code atau kod bil JomPay bagi simpanan TH adalah 60228 dengan 15-digit nombor Akaun Simpanan TH perlu dimasukkan sebagai Ref-1.
Tambah Mustakim, perkhidmatan baru yang ditawarkan itu tidak dikenakan sebarang kos dan tiada pendaftaran diperlukan.
“Tambahan pula, para pendeposit tidak perlu membuat sebarang pendaftaran untuk menggunakan kemudahan ini dan ia adalah percuma. Dengan kemudahan tambahan ini akan memudahkan lagi para pendeposit untuk berurusan dengan TH.
“Jumlah transaksi pendeposit yang menggunakan kemudahan perbankan internet dan pelbagai saluran dalam talian telah meningkat kepada hampir 80 peratus berbanding transaksi yang dilakukan di kaunter,”katanya.
Sumber: UTUSAN