Kes sporadik, tidak bergejala tingkatkan kebolehjangkitan Covid-19

 

Kadar kebolehjangkitan atau 'R naught' (Rt) dijangka terus meningkat susulan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi dan institusi pendidikan.

Pakar virologi dari Universiti Malaya, Prof Dr Sazaly Abu Bakar, berkata penularan yang mengundang peningkatan Rt sejak kebelakangan ini berpunca daripada beberapa faktor.

Katanya, ia merangkumi kes sporadik, kes jangkitan tidak bergejala, pembukaan sektor ekonomi, tanggapan di sebalik pemberian vaksin dan kecekapan saringan dalam kalangan masyarakat.

"Selagi ada penularan daripada seorang ke lebih ramai individu, Rt akan bertambah. Contohnya, ada tiga orang terjangkit dan ia tidak menular, maka Rt turun ke paras bawah 1.0.

"Namun jika tiga orang yang dijangkiti ini menyebarkan wabak COVID-19 kepada individu lain dalam komuniti, maka Rt akan jadi lebih daripada 1.0.

"Itu penjelasan paling mudah untuk kita terjemahkan konsep peningkatan Rt dalam kalangan masyarakat," katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, hari ini mengingatkan orang ramai untuk berpegang kepada tanggungjawab sosial dan kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) susulan peningkatan RO kepada 1.0 berbanding kadar terendah, iaitu 0.81 pada 3 Mac lalu.

Sazaly berkata, kes jangkitan tidak bergejala juga antara punca di sebalik peningkatan Rt sejak kebelakangan ini, selain didorong faktor pembukaan lebih banyak sektor ekonomi dan institusi pendidikan.

"Kita juga lihat kemunculan 41 kluster sekolah yang berkemungkinan menyumbang kepada faktor penularan dalam kalangan masyarakat sehingga meningkatkan kadar Rt.

"Selagi ada penularan, Rt akan terus meningkat. Dulu kita buat saringan boleh kesan yang positif, tetapi sekarang situasi sudah teruk sehingga tidak tahu dekat mana untuk buat saringan.

"Jjadi kita tidak tahu siapa yang positif, besar-besaran pun kementerian tidak boleh buat.

"Sekarang yang boleh buat ialah menerusi agensi tertentu dengan memindahkan tanggungjawab sedemikian kepada syarikat, operator tapak binaan dan pemegang taruh berkaitan.

"Ia termasuk askar, tentera dan polis yang perlu menggalas tanggungjawab untuk buat pengesanan di lapangan bagi membendung penularan COVID-19, khususnya membabitkan kes jangkitan tidak bergejala," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

 

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url