Masyarakat dunia bersedih kematian Rayan Oram
Tragedi malang menimpa kanak-kanak Maghribi, Rayan Oram diratapi masyarakat global apabila disahkan meninggal dunia selepas terjatuh dan terperangkap dalam perigi selama lima hari.
Nama kanak-kanak berusia lima tahun ditemui tidak bernyawa di dasar perigi pada kedalaman 32 meter itu menjadi sebutan pengguna media sosial termasuk dari Malaysia.
Rata-rata mereka berdukacita dan mengutuskan ucapan takziah serta iringan doa kepada keluarga mangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, antara pemimpin yang menzahirkan ucapan takziah di atas pemergian Rayan menerusi hantaran di Facebook.
Beliau turut melahirkan rasa sedih selepas menerima berita kematian kanak-kanak terbabit yang disahkan oleh Istana Diraja Maghribi.
"Sedih mendengar berita yang menyayat hati mengenai kematian Rayan Oram yang disahkan oleh Istana Diraja Maghribi.
Kanak-kanak malang itu terperangkap dalam perigi sempit sedalam 32 meter selama lima hari di kampungnya di Ighran, yang terletak di kawasan berbukit dekat Chefchaouen, utara Maghribi.
"Saya dan seluruh keluarga Malaysia mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Rayan atas pemergiannya. Semoga roh Allahyarham Rayan tenang di sana. Anak syurga milik Allah SWT," kata Ismail Sabri.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut berkongsi kesedihan dengan berita kematian Rayan menerusi perkongsian di Facebook.
"Seluruh dunia bersedih, adik Rayan disahkan meninggal dunia oleh kerajaan Maghribi. Pasukan penyelamat sudah melakukan yang terbaik apabila berjaya mengeluarkan Rayan dan segera melakukan pemindahan untuk rawatan segera namun Allah SWT lebih menyayangimu.
"Salam takziah buat ibu ayah dan keluarga arwah dan berehatlah adik Rayan di syurga sana," katanya.
Di Twitter, Rayan Oram 'trending' apabila pengguna media sosial itu membuat ciapan berserta tanda pagar nama kanak-kanak berkenaan.
"Sesungguhnya Allah lebih menyayanginya daripada kita. Terima kasih Rayan, kerana bertahan sendirian dalam terowong selama lima hari sehingga kamu keluar dengan selamat dan menunjukkan kepada kami bahawa kamu benar-benar 'malaikat' yang kuat. Al-Fatihah Rayan," ciap pemilik akaun dikenali @hxdzilaa.
"Hanya lima minit, ibunya gembira untuk tempoh lima minit. Anaknya meninggal dunia dan kembali kepada Pencipta. Anda adalah ibu yang kuat di dunia.
"Tangisan anda menceritakan segalanya. Kami sentiasa berdoa buat Rayan. Jangan bimbang, dia kini selamat dan berada di tempat yang lebih selesa," ciap pengguna Twitter, @Candy5r dari Pakistan.
"Saya tidak boleh berhenti menangis. Doa saya kepada #Rayan dan keluarganya. Kepada semua yang bersedih dengan kematian kanak-kanak comel ini, saya bersama anda," ciap @donegan_who dari Amerika Syarikat (AS).
Usaha menyelamatkan Rayan yang terperangkap selepas terjatuh dalam perigi berhampiran rumah keluarganya di perkampungan Inghrane wilayah Chefchaouen sejak Selasa lalu menyentuh hati dan perasaan masyarakat dunia.
Bagaimanapun, usaha itu berakhir selepas pasukan penyelamat yang bertungkus-lumus melaksanakan kerja menggali, menemui Rayan di dasar perigi terbabit dan disahkan meninggal dunia.
Sumber dari Berita Harian