Tempoh dapatkan dos penggalak penerima Sinovac dilanjutkan 31 Mac 2022

 

Kementerian Kesihatan (KKM) melanjutkan tempoh pemberian dos penggalak sehingga 31 Mac ini kepada individu yang menerima vaksin jenis Sinovac. 

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata sebelum ini pihaknya memutuskan mana-mana individu berusia 60 tahun ke atas yang menerima vaksin jenis Sinovac perlu mendapatkan dos penggalak sebelum 28 Februari ini sebelum status vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera dinyatakan sebagai tidak lengkap.

"Penerima vaksin Sinovac yang berusia 60 tahun ke atas perlu dapatkan dos penggalak bagi mengekalkan status lengkap dalam MySejahtera. Tempoh masa sebelum ini kita beri sehingga 28 Februari, namun kita lanjutkan sehingga 31 Mac ini bagi memudahkan mereka mendapatkan dos penggalak berkenaan.

"Jadi bermula 1 April ini, sekiranya mereka masih belum mendapatkan dos penggalak berkenaan status vaksinasi lengkap golongan ini akan ditukar sebagai tidak lengkap dalam MySejahtera," katanya

Sebelum ini, Khairy berkata pengambilan dos penggalak itu membabitkan semua penerima vaksin warga emas tanpa mengira jenis vaksin pertama dan kedua, penerima vaksin Sinovac dewasa.

Beliau dilaporkan berkata, sekiranya individu berkenaan gagal berbuat demikian, sijil digital vaksinasi mereka akan bertukar kepada warna putih yang bermaksud tidak mendapatkan vaksinasi penuh sekali gus menyukarkan untuk melepasi sekatan di pintu masuk tertentu.     

Dalam pada itu, mengulas mengenai laporan sebuah portal bahawa Malaysia mungkin akan membuang hampir setengah juta dos vaksin jenis AstraZeneca, Khairy memaklumkan perkara itu tidak akan berlaku.

"Kementerian Kesihatan (KKM) akan mempertimbangkan cadangan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk menggunakan stok vaksin sedia ada yang berada dalam simpanan kita untuk diberikan kepada negara luar.

"Saya melalui Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) menerima laporan setiap minggu berkaitan stok vaksin berkenaan, termasuklah berkaitan tarikh luput.

"Kita tidak pernah buang vaksin berkenaan, semuanya digunakan sebelum tarikh luput. Sekiranya perlu, kita akan membuat sumbangan ke negara luar seperti Bangladesh dan Laos," katanya.

Sebelum ini, sebuah portal melaporkan Malaysia mungkin akan 'membuang' hampir setengah juta dos vaksin COVID-19 jenis AstraZeneca-Oxford yang akan tamat tempoh pada Mei ini.

Malaysia menerima kumpulan terbaharu dan terakhir 1,365,200 dos AstraZeneca yang dihasilkan oleh Siam Bioscience Co. Ltd Thailand. Jumlah itu adalah daripada pesanan langsung kerajaan sebanyak 6.4 juta dos.

Menurut sijil lot yang dikeluarkan oleh NPRA, kumpulan vaksin ini, dibahagikan kepada nombor lot A1168 (690,900 dos) dan A1169 (674,300 dos) yang akan tamat tempoh pada 31 Mei ini. 

Sumber dari Berita Harian

 

 

 

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url