Tak perlu lagi imbas QR kod MySejahtera masuk premis mulai 1 Mei 2022
Kerajaan tidak lagi mewajibkan orang ramai membuat imbasan kod QR menerusi aplikasi MySejahtera apabila memasuki premis atau tempat awam lain, berkuat kuasa 1 Mei ini.
Bagaimanapun, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata orang awam disarankan supaya mengaktifkan fungsi MySJ Trace bagi pengesanan kontak.
Pihak pengurusan premis hendaklah menyemak status risiko individu dalam aplikasi MySejahtera yang memasuki premis.
"Individu dengan status 'High Risk' (Risiko Tinggi) pada aplikasi MySejahtera iaitu kes positif COVID-19 dan individu yang diberi arahan Perintah Pengawasan dan Pemantauan (HSO) tidak dibenarkan masuk ke premis.
"Justeru, aplikasi MySejahtera masih lagi penting untuk digunakan antara lain bagi tujuan pelaporan keputusan ujian pengesanan COVID-19 dan arahan HSO.
"Ia juga penting untuk membantu Kementerian Kesihatan (KKM) dalam pencegahan dan kawalan COVID-19," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini sini bagi mengumumkan kelonggaran langkah kawalan dan pencegahan COVID-19 di negara ini selaras dengan Fasa Peralihan Ke Endemik.
Khairy berkata, kemasukan individu ke mana-mana premis adalah dibenarkan tanpa mengira status vaksinasi. Mereka yang positif COVID-19 walaupun mempunyai status vaksinasi lengkap masih tidak dibenarkan masuk ke premis.
"Ini termasuk individu dalam tempoh HSO termasuk pengembara tanpa vaksinasi lengkap yang baru tiba di Malaysia tidak dibenarkan masuk ke premis," katanya.
Beliau berkata, fungsi HotspotTracker yang dahulu digunakan untuk menjejak kawasan titik panas kes COVID-19 kini akan diubah sebagai Infectious Disease Tracker untuk melihat kawasan titik panas penyakit lain seperti rabies (penyakit anjing gila), demam campak (measles), penyakit tangan, kaki & mulut (HFMD) dan denggi.
"Kawasan ini akan ditentukan berdasarkan jumlah kes aktif di kawasan lingkungan pengguna untuk setiap penyakit berjangkit," katanya sambil menambah langkah proaktif itu diambil bagi mengelakkan daripada mengunjungi kawasan berisiko tinggi berlaku penularan penyakit berjangkit terutamanya jika bersama-sama mereka yang berisiko tinggi dan mempunyai komorbiditi.
"Saya juga amat menggalakkan persatuan-persatuan komuniti menggunakan fungsi ini untuk membantu dalam mengawal penularan penyakit berjangkit di kawasan kediaman masing- masing dengan melaksanakan pelbagai aktiviti seperti gotong-royong serta pembersihan kawasan perumahan dan perkampungan," katanya.
Sumber dari Berita Harian