Takwim persekolahan 2023 kekal

 


Ketetapan takwim persekolahan sesi 2023 yang bermula Mac kekal selepas mengambil kira banyak faktor dan melakukan perbincangan serta penelitian yang mendalam.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata, antara faktor diambil kira adalah risiko tinggi berlakunya banjir pada Disember yang dikhuatiri menyukarkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) khususnya di sebelah Pantai Timur membuat persediaan menghadapi peperiksaan.

"Takwim asal dibuat hujung tahun namun untuk negeri di Pantai Timur, berlaku monsun timur laut dan kemungkinan berlaku banjir agak tinggi.

"Kita lihat cabaran paling besar dihadapi Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) untuk menguruskan calon SPM waktu banjir malah ia lebih sukar berbanding ketika COVID-19.

"Apabila calon datang lewat maka ia akan menimbulkan perkara teknikal dan menyukarkan pelaksanaan peperiksaan.

"Satu lagi sebab (kekalkan takwim) adalah kita mahu pastikan tempoh masa anak (calon SPM) tamat SPM tidak terlalu jauh dengan tempoh masa mereka menyambung pengajian supaya momentum untuk belajar masih ada," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Hari Terbuka Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Langat di sini, hari ini.

Menerusi program itu, Radzi memberi peluang kepada guru, Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan seorang murid perempuan untuk bertanya soalan berkaitan skop pendidikan kepadanya sebelum beliau memberi jawapan.

Ditanya kemungkinan takwim sesi persekolahan kembali seperti dulu iaitu pada Januari, Radzi memaklumkan perkara itu memerlukan penelitian menyeluruh.

"Apabila kita sudah bergerak ke hadapan, nak ke belakang balik menyukarkan semua pihak.

"Perlu analisis terperinci apakah yang terbaik untuk anak-anak kita," katanya

Berhubung program Hari Terbuka PPD, Radzi melihatnya sebagai platform baik untuk mengubah persepsi ibu bapa, guru dan semua pihak terhadap pengurusan PPD.

"Sebelum ini, PPD dilihat sebagai kumpulan yang mencari kesalahan dan persepsi itu berlarutan sejak sekian lama.

"Kita di kementerian melihat pendekatan PPD mesti sentiasa terbuka kepada masyarakat.

"Justeru, kita turun ke bawah berkawan dengan guru dan pentadbir untuk fahami serta lihat masalah jadi jika ada kelemahan boleh tambah baik dari masa ke semasa serta mahu keseluruhan ekosistem pendidikan dapat sokongan semua pihak," katanya.

Sumber : Berita Harian

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url