Johor meluaskan kuasa mereka dalam arena sukan negara menerusi kejayaan muncul juara keseluruhan buat kali pertama di Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 yang berakhir pada 24 September 2022.
Prestasi ditunjukkan barisan atlet Harimau Selatan pada temasya kali ini dianggap luar biasa apabila mengungguli carta kedudukan pingat dengan kutipan 77 emas, 52 perak dan 43 gangsa.
Terengganu yang diletakkan sebagai pilihan untuk mengekalkan kejuaraan dimenangi pada edisi empat tahun lalu di Perak terpaksa berpuas hati menamatkan saingan di kedudukan kedua menerusi 64 emas, 49 perak dan 56 gangsa manakala Wilayah Persekutuan ketiga dengan 55 emas, 68 perak dan 64 gangsa.
Ketua kontinjen Johor, Datuk Mohamad Najib Samuri, berkata salah satu faktor utama yang membolehkan mereka meraih kejuaraan sulung adalah kebersamaan yang ditunjukkan semua pihak termasuklah kerajaan negeri, persatuan sukan, atlet, jurulatih dan pegawai dalam persiapan menghadapi temasya kali ini.
"Selain itu, kontinjen memang sudah melakukan persiapan sejak berakhirnya edisi di Perak empat tahun lalu yang mana Johor selepas itu sepatutnya menjadi tuan rumah pada 2020 sebelum penganjuran ditangguhkan berikutan pandemik COVID-19.
"Namun, atlet masih mengekalkan momentum dan menunjukkan semangat juang yang tinggi sepanjang bertanding pada temasya kali ini. Apa yang membanggakan saya adalah pencapaian ini diraih ketika Johor bukan sebagai tuan rumah," kata Najib.
Sebagai rekod, Johor tidak pernah muncul juara keseluruhan SUKMA sejak diperkenalkan pada 1986 dengan pencapaian terbaik adalah mengakhiri saingan di kedudukan kedua keseluruhan pada 1992 ketika menjadi tuan rumah dengan mengutip 20 emas.
Bagaimanapun, dari segi pencapaian pingat pula, Johor mengumpul emas terbanyak pada edisi 2010 di Melaka dengan meraih 40 emas sekali gus menyaksikan pencapaian kali ini sudah melepasi rekod terbaik buat negeri berkenaan.
Kanu menjadi penyumbang emas terbesar buat kontinjen Johor apabila berjaya memenangi 23 emas diikuti olahraga (sembilan), berbasikal (11), renang (tujuh), wushu (enam), menembak (lima), memanah (dua), judo (dua), silat (dua), angkat berat (dua), tinju (dua), karate (satu), e-sukan (satu), petanque (satu), muaythai (satu), bola tampar (satu) dan badminton (satu).
Pada temasya kali ini, atlet kanu, Muhammad Fakhrullah Mohd Rumaize menjadi peyumbang emas terbanyak buat kontinjen Johor apabila membawa pulang keseluruhan sembilan emas manakala perenang wanita, Tan Rouxin menghadiahkan enam emas buat negeri selatan tanah air itu.
Najib, berkata pihaknya akan mencadangkan kepada kerajaan negeri untuk memberi insentif tambahan kepada atlet yang berjaya menyumbang pingat susulan pencapaian bersejarah yang diraih pada temasya kali ini.
"Saya percaya kerajaan negeri akan memberikan pertimbangan sewajarnya memandangkan ini adalah kejuaraan pertama yang diraih di SUKMA. Apa yang dicapai kali ini sememangnya sesuatu yang di luar jangkakan kami," katanya.
INFO: 2 ATLET TERBAIK JOHOR
Nama: Muhammad Fakhrullah Mohd Rumaize
Sukan: Kanu
Jumlah Acara yang disertai : 9
Emas:
K1 200m (0:39.832)
K2 200m (0:37.459)
K2 500m (1:43.045) NR
K2 1000m (3:35.500) NR
TBR 1000m (lelaki) (4:58.490)
TBR 500m (campuran) ( 2:26.321)
TBR 500m (lelaki) (2:19.230)
TBR 200m (lelaki) ( 0:54.850)
TBR 200m (campuran) (0:57.723)
Rekod kebangsaan:
K2 500m (1:43.045)
K2 1000 m (3:35.500)
Nama : Tan Rouxin
Sukan : Renang
Jumlah Acara yang disertai : 10
Pencapaian di SUKMA 2022 : 6 emas, 1 perak, 1 gangsa
Emas
- 50m kuak dada
- 100m kuak dada
- 200m kuak dada
- 200m kuak lentang
- 200m rampaian individu
- 100m kuak lentang
Perak
- 50m kuak lentang
Gangsa
- 4 x100m rampaian wanita
Sumber : Berita Harian
Tahniah buat atlet negeri Johor