Arsenal menang Piala Perisai Komuniti 2023
Mikel Arteta percaya kemenangan Arsenal ke atas Manchester City dalam Perisai Komuniti membuktikan mereka boleh bersaing dengan juara treble itu bagi perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Anak buah Arteta melaungkan amaran awal menjelang musim baharu apabila bangkit untuk menundukkan City 4-1 menerusi penentuan penalti selepas seri 1-1 di Wembley awal pagi tadi.
Jaringan lencong menarik Cole Palmer membantu City mendahului pada minit ke-77 namun Arsenal enggan mengalah dan Leandro Trossard menyamakan kedudukan dengan percubaan yang terbias 11 minit dalam masa kecederaan.
Ia bagaikan tuah yang menghalang Arsenal sebelum ini apabila mereka mensia-siakan pendahuluan lapan mata dalam perebutan kejuaraan musim lalu, membenarkan City melebarkan penguasaan EPL dengan takhta kelima dalam enam musim.
The Gunners mengambil kesempatan susulan gol penyamaan Trossard, menyempurnakan semua empat penalti mereka manakala Kevin de Bruyne terkena palang dan percubaan Rodri diselamatkan Aaron Ramsdale.
Gol penalti kemenangan Fabio Vieira mencetus kegembiraan tidak terkata daripada Arteta dan pemainnya.
Dengan musim baharu EPL bermula Jumaat ini, Arteta yakin kemenangan anak buahnya di Wembley memberi petanda positif.
"Amat bagus jika semua pemain yakin mereka boleh mengalahkan setiap pasukan. Saya fikir kami mempamerkan keazaman sebenar dan berjuang untuk memenangi perlawanan," kata Arteta.
"Kami berhak menang ke atas pasukan yang bermain terlalu banyak perlawanan akhir.
"Ia terlalu menggembirakan memenangi trofi di Wembley ke atas pasukan terbaik di dunia."
Lebih menggalakkan Arteta adalah penampilan mantap dua pemain baharu Declan Rice dan Jurrien Timber di bahagian tengah dan pertahanan kiri.
Kai Havertz, seorang lagi pembelian utama Arsenal pada musim panas ini, kurang menyinar apabila terlepas dua peluang keemasan dengan persembahan hambar berterusan yang meyakinkan Chelsea untuk menjualnya.
Arteta mempertahankan Havertz apabila berkata: "Havertz mengagumkan, dengan cara dia menekan, dia berada di posisi hebat untuk menjaringkan gol. Saya amat gembira dengannya."
Pengurus Arsenal itu turut teruja dengan peraturan baharu membuang masa yang menjurus kepada tambahan lapan minit masa sebenar, ditambah lima minit tambahan kerana kecederaan dalam masa tambahan.
"Kami perlu bersedia untuk bermain 100 minit kerana ia akan berlaku setiap minggu," katanya.
Sumber berita AFP