ECRL kereta api pertama di Asia Tenggara guna 4G
Malaysia bakal melakar sejarah sebagai negara pertama di Asia Tenggara yang melaksanakan rangkaian komunikasi LTE-Railway (LTE-R) menggunakan 4G pada kereta api penumpang di Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 665 kilometer.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak, berkata rangkaian komunikasi itu akan membantu meningkatkan tahap keselamatan serta membolehkan komunikasi dan isyarat lebih pantas berbanding teknologi rangkaian mudah alih GSM-R untuk kereta api.
"Komunikasi ini menggunakan 4G. Jadi pada masa hadapan, jika anda ingin mengemas kini kepada 5G, infrastrukturnya sudah ada, jadi hanya perlu kemas kini perisian. Sistem komunikasi untuk perkhidmatan kereta api adalah amat penting terutama dari segi keselamatan.
"Anda akan nampak imej jika menggunakan rangkaian komunikasi ini. Sesetengah orang selalu keliru sama ada ini bermakna orang ramai akan mempunyai ketersambungan Internet sepanjang perjalanan termasuk ketika melalui terowong.
"Jawapannya ya, kita sedang bekerjasama rapat dengan penyedia rangkaian supaya orang ramai boleh menikmati ketersambungan penuh Internet sepanjang perjalanan," katanya pada perbincangan forum Kelab Concorde.