Polis mula guna kamera badan Oktober 2024


Polis Diraja Malaysia (PDRM) dijangka mula menerima 7,648 unit kamera badan (BWC) secara berperingkat mulai September tahun ini hingga Februari 2025.

Penerimaan itu adalah berdasarkan Surat Setuju Terima (SST) yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) semalam.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, berkata BWC adalah untuk penugasan Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di bawah JPJKK, selain akan diperluaskan untuk penugasan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT).

"Ia (BWC) akan ditempatkan di 157 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan 640 balai polis di seluruh kontinjen dan penggunaannya adalah secara berperingkat mulai Oktober 2024.


"Pada masa ini, kita menjangkakan BWC akan digunakan sepenuhnya oleh petugas MPV dan URB pada Mac 2025.

Bagi memastikan semua petugas MPV dan URB mahir dalam mengendalikan BWC, latihan penggunaan akan dilaksanakan mulai Mac 2025 hingga Disember 2025," katanya

Wan Hassan berkata, PDRM akan ke hadapan sebagai agensi tunggal keselamatan awam negara ini dalam penggunaan teknologi terkini, selaras dengan kepolisan moden.

"Selari dengan perkembangan teknologi dan penugasan kepolisan yang semakin mencabar, adalah menjadi harapan kita supaya penggunaan BWC akan dapat meningkatkan tatakelola yang baik dalam penugasan rondaan pencegahan jenayah dalam kalangan petugas MPV dan URB.

"Dengan tersematnya BWC di pakaian seragam polis, ia akan meningkatkan lagi hubungan dan kerjasama orang awam dan polis kerana setiap perbualan mereka dirakam," katanya.

Beliau berkata, pengunaan BWC akan menaikkan lagi imej PDRM dalam kalangan masyarakat kerana rakamannya boleh dijadikan bukti di mahkamah dan di dalam sebarang kes jenayah, termasuk kes membabitkan petugas difitnah ketika menguatkuasakan undang-undang.

Semalam, tiga anggota polis trafik ditahan reman tiga hari untuk siasatan berhubung perbuatan meminta wang daripada pasangan pelancong warga United Kingdom (UK) bagi menyelesaikan saman trafik, baru-baru ini.

Kejadian warga asing itu disaman polis Malaysia tular apabila perbuatan warga PDRM itu kononnya menawarkan diskaun saman kepada pasangan warga UK selepas mereka ditahan bagi kesalahan memandu melebihi had laju, sempat dirakam.

Pada 17 Januari lalu, seorang anggota polis didakwa di Mahkamah Sesyen atas empat pertuduhan termasuk merogol remaja perempuan warga Uzbekistan berusia 17 tahun dalam kenderaan peronda polis (MPV).

Lans Koperal Muhammad Fazrul Razzi Yunus, 31, turut berdepan pertuduhan berasingan kerana melakukan peras ugut ke atas remaja berusia 17 tahun yang juga teman lelaki warga Uzbekistan itu, bersama seorang anggota lain, Konstabel Muhammad Adib Aikal Sharul Nizam, 24, di mahkamah berasingan.

Muhammad Fazrul yang juga bapa kepada dua anak mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Norshila Kamaruddin.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa merogol, melakukan amang seksual fizikal, persetubuhan bertentangan aturan tabii dan hubungan seks ke atas remaja terbabit tanpa kerelaannya.

Sumber : Berita Harian

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url