16.56 juta penduduk bekerja di Malaysia, kadar pengangguran kekal 3.3% pada April 2024


Bilangan penduduk bekerja di Malaysia adalah seramai 16.56 juta orang pada April, meningkat 0.1 peratus berbanding 16.53 juta pada Mac 2024.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, pasaran buruh pada April kekal stabil, mencerminkan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang menggalakkan.

Sehubungan itu, kata beliau, bilangan tenaga buruh pada April turut meningkat 0.1 peratus, mencatatkan 17.12 juta orang dengan kadar penyertaan tenaga buruh kekal pada 70.3 peratus.

“Bilangan penganggur pada bulan tersebut mencatatkan sedikit penurunan, iaitu sebanyak 0.04 peratus kepada kira-kira 566,400 orang, berbanding kira-kira 566,600 pada Mac.

“Kadar pengangguran pada April kekal pada 3.3 peratus, seperti yang direkodkan bulan lalu,” katanya dalam kenyataan pada 10 Jun.
Guna tenaga
Berkenaan guna tenaga, Mohd. Uzir berkata bahawa kategori pekerja merangkumi 75.1 peratus daripada jumlah penduduk bekerja pada April.
Jelas beliau, kumpulan itu meningkat sebanyak 0.1 peratus kepada 12.43 juta berbanding 12.42 juta pada Mac.
“Pada masa sama, kategori penduduk bekerja sendiri terus berada pada trend menaik, dengan kadar pertumbuhan sebanyak 0.3 peratus kepada 3.04 juta orang,” katanya.
Sektor ekonomi
Dari segi sektor ekonomi pula, sektor perkhidmatan terus merekodkan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja, terutamanya dalam aktiviti maklumat dan komunikasi; perkhidmatan makanan dan minuman serta pengangkutan dan penyimpanan.
Malah, menurut Mohd. Uzir, trend sama turut ditunjukkan dalam sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian serta sektor pertanian pada April.
Situasi pengangguran
Sementara itu, berkenaan situasi pengangguran, beliau menyatakan bahawa 79.7 peratus daripada jumlah penganggur ialah penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan.
“Kategori ini berkurang sedikit, iaitu sebanyak 0.03 peratus kepada kira-kira 451,400 orang.
“Dalam kalangan penganggur aktif, mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan merangkumi 61.7 peratus manakala mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebih setahun adalah sebanyak 6.7 peratus.
“Begitu juga, mereka yang percaya bahawa tiada pekerjaan tersedia atau penganggur tidak aktif turun sedikit, iaitu sebanyak 0.05 peratus kepada kira-kira 115,000,” katanya.
Pengangguran belia
Kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun tidak berubah, iaitu pada 10.6 peratus, merekodkan kira-kira 305,900 penganggur belia.
Pada masa sama, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun ialah 6.5 peratus, dengan kira-kira 434,900 penganggur belia.
Penduduk di luar tenaga buruh
“Bagi kumpulan tidak aktif, bilangan penduduk di luar tenaga buruh pada April mencatatkan sedikit peningkatan, iaitu sebanyak 0.01 peratus kepada 7.23 juta orang.
“Sebab utama penduduk berada di luar tenaga buruh adalah disebabkan kerja rumah atau tanggungjawab keluarga dengan peratus sumbangan sebanyak 42.7 peratus, diikuti bersekolah atau latihan pada 41.4 peratus,” kata Mohd. Uzir. 
Sumber dari Relevan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url