Huzz meninggal dunia


Wartawan hiburan terkenal era 1980-an hingga 1990-an, Huzz atau nama sebenarnya, Kamal Huzaini Kamaludin, 59, menghembuskan nafas terakhir akibat kanser usus tahap empat di kediaman abangnya di Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang, jam 6.10 petang tadi.

Berita pemergian Huzz disahkan oleh adiknya yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) BERNAMA, Nur-ul Afida Kamaludin, 57.

Sebelum itu, Nur-ul Afida dilapor berkata, kesihatan arwah semakin merosot dan berada di bawah pemantauan doktor.

Terdahulu, arwah yang juga bekas Pengarang Majalah URTV dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Mac lalu untuk menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada usus, kemudiannya disahkan menghidap kanser usus tahap empat.

Selepas beberapa bulan dirawat di HKL, arwah dibenarkan pulang dan dibawa ke kediaman abangnya di Bertam pada 31 Mei lalu untuk rawatan susulan.

Namun, keadaan menjadi kritikal selepas hampir seminggu berada di Pulau Pinang.

Penderitaan arwah turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menyerahkan sumbangan diwakili Setiausaha Politik Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi ketika menziarahinya di HKL pada 21 Mei lalu.

Allahyarham memulakan kerjaya kewartawanan bersama akhbar Harian Nasional pada 1980-an.

Beliau kemudiannya menyertai syarikat Kumpulan Karangkraf bersama majalah Media Hiburan.

Pada awal 1990-an, Huzz menyertai Utusan Melayu (M) Berhad sebagai wartawan majalah URTV, selain terkenal dengan ruangan gosip Sensasi Huzz dalam sisipan Pancaindera, Mingguan Malaysia.

Allahyarham kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai Penolong Pengarang Majalah Mangga bergandingan bersama Allahyarham Mama Juwie.

Jawatan terakhirnya, Pengarang URTV sebelum bersara selepas syarikat Utusan Melayu menutup operasi pada 2019.

Allahyarham juga penulis lirik dan dikenali menerusi lagu nyanyian Ramlah Ram berjudul Keangkuhan Mu.

Allahyarham terkenal dengan perwatakan ceria dan ramah, selain sikap profesional dalam melaksanakan tugas sehingga amat disenangi rakan seperjuangan dan artis.

Penulisan arwah yang bersifat kritikan, teguran dan pandangannya dalam industri hiburan tempatan amat signifikan, malah dianggap antara 'sosok' penting dalam perjalanan kerjaya seni ramai artis hebat seperti Biduanita Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Ramlah Ram dan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Sekitar 2006, arwah pernah menggegarkan industri hiburan negara apabila menjadi wartawan pertama mendedahkan kisah cinta Siti Nurhaliza bersama usahawan, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa.

Hasil penulisannya yang menggunakan jolokan nama 'Datuk K' terus menjadi fenomena dan kekal sehingga kini.

Selain hebat dalam penulisan berita hiburan, bakat Huzz turut menyinar dalam penulisan lirik menerusi lagu Keangkuhan Mu dendangan Ramlah Ram.

Rakan seperjuangan arwah yang juga Presiden Persatuan Wartawan & Penulis Hiburan Malaysia (WHAM), Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin berkata, walaupun Allahyarham berkhidmat dalam bidang kewartawanan hiburan, namun hasil kerja Huzz amat berimpak tinggi dalam industri.

Malah, katanya, arwah disifatkan sebagai pemula 'trend' pada kemuncak kerjayanya.

"Walaupun arwah adalah wartawan hiburan, tetapi peranannya dalam dunia kewartawanan Malaysia sangat besar.

"Kalau nak sesuatu berita, arwah akan cari sampai ke lubang cacing, begitulah semangat arwah.

"Berita yang ditulis beri impak kepada masyarakat terutama kepada individu berada dalam industri seni. Ada satu berita arwah tulis elok-elok, daripada artis nak bercerai terus tak jadi," katanya.

Beliau yang mengenali arwah sejak 1990-an berkata, Huzz juga antara individu terakhir mempertahankan Utusan Melayu sehingga syarikat penerbitan itu ditutup pada 2019.

Sementara itu, teman rapat arwah yang juga pelakon handalan, Fauziah Ahmad Daud atau lebih mesra disapa Kak Ogy berkata, arwah seorang wartawan yang sangat amanah dalam menjaga rahsia, selain suka membantu selebriti.

"Arwah memang seorang yang cukup jaga rahsia. Kalau nak buka cerita buruk mengenai artis boleh tulis, tetapi dia bukan orang seperti itu. Malah Huzz sentiasa memberi sokongan kepada rakan artis dan bukan jenis yang suka menunjuk-nunjuk bila tolong orang," katanya.

Turut berkongsi kenangan bersama arwah, Siti Nurhaliza yang mengenali Huzz sejak awal bergelar artis selepas memenangi pertandingan Bintang HMI pada 1995.

Siti berkata, dia dan suami sempat menziarah arwah di Hospital Kuala Lumpur dan bercerita mengenai pengalaman dilalui bersama sepanjang kerjasama antara artis dan wartawan.

"Sewaktu melawat beliau, kami juga sempat memberi khabar bahawa Yayasan Nurjiwa akan menunaikan (upah) badal haji buat Allahyarham. Doakan agar urusan badal haji arwah dapat kami sempurnakan," katanya menerusi hantaran di Instagram.

Pemergian Huzz tentunya ditangisi namun jasa, semangat dan kecintaan Allahyarham dalam merancakkan industri hiburan tanah air pastinya akan diingati dan terpahat dalam dunia seni tempatan. 

Sumber : BERNAMA

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url